Support US!

Search This Blog

Memaparkan catatan dengan label Fitnah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fitnah. Papar semua catatan

24 November 2008

Penyebaran fitnah bahaya jika tak dibendung


Oleh Mohd Kamel Mat Salleh, Berita Harian
(16 Disember 2006-Sabtu)

SEJAK zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud masalah khabar angin palsu dan fitnah, maka apatah lagi pada zaman serba canggih ini, apa-apa saja boleh berlaku. Justeru, setiap individu muslim hendaklah memikul tanggungjawab dalam setiap perkataannya agar tidak tersalah dalam berkata-kata atau mengada-adakan cerita kerana dosa lidah itu amat berat.

Dalam menerima sesuatu maklumat, selidik dulu fakta diterima dan jangan dipercayai seratus peratus tanpa ada sandaran bukti dan dalil yang kuat. Seelok-eloknya tanyalah kepada orang yang lebih mengetahui dan sekiranya maklumat itu berkaitan dengan peribadi seseorang, tanyalah terlebih dulu kepada empunya diri supaya perkhabaran yang diterima itu betul dan tepat.

Berdasarkan peristiwa dialami Saidatina Aisyah, Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman 80 sebatan atas kesalahan golongan penyebar fitnah. Hukuman ini dikira amat berat kerana menyebarkan fitnah bukan kesalahan ringan, malah ia amat bahaya jika tidak dibendung.

Maka pihak kerajaan dan golongan berwajib mesti mengambil langkah pencegahan supaya penyebaran maklumat palsu tidak berleluasa dan boleh memporak-perandakan hidup manusia.

Dalam era teknologi maklumat yang serba moden dan canggih, penyebaran dan penerimaan maklumat berlangsung dengan cepat dan pantas. Islam tidak pernah menolak kemajuan tetapi biarlah kemajuan ini seiring berasaskan etika dan nilai akhlak yang diterima pakai.

Fenomena fitnah dan khabar angin sering digunakan dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar. Mereka menggunakan kemudahan canggih ini untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga yang bersahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), surat layang, internet dan seumpamanya.

Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab yang amat pedih. Maksud firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 19, bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya".

Ayat di atas diturunkan rentetan daripada peristiwa yang menimpa Rasulullah apabila isterinya Aisyah dituduh melakukan hubungan tidak baik dengan seorang sahabat bernama Safwan.

Berita bohong ini terjadi selepas peperangan Bani al-Mustaliq.Peperangan ini diserai kaum munafik. Dalam perjalanan pulang ke Madinah, rombongan tentera Islam singgah di satu tempat dan Saidatina Aisyah keluar dari kenderaannya untuk qadha hajat dan kalungnya jatuh menyebabkan beliau kembali ke tempat beliau qadha hajat untuk mencari kalung itu.

Pada masa sama tentera Islam berangkat meneruskan perjalanan ke Madinah yang pada sangkaan mereka Aisyah berada dalam kenderaan tunggangannya. Selepas Aisyah menjumpai kalungnya dia pun terus ke tempat persinggahan tentera Islam dan alangkah terkejutnya Aisyah apabila mendapati tiada lagi tentera Islam yang tinggal.

Saidatina Aisyah terlelap kerana kepenatan dan beliau dikejutkan dengan laungan seorang sahabat bernama Safwan bin Ma'tal yang kebetulan tercicir dari kumpulan tentera Islam. Safwan yang mengetahui Aisyah adalah isteri baginda segera mengucapkan ‘inna lillahi wa ilahi rajiun’ dan merendahkan tunggangannya untuk dinaiki Aisyah.

Sepanjang perjalanan mereka tidak bercakap walau sepatah perkataan pun sehingga mereka sampai ke Nahr al-Zahirah yang secara kebetulan tentera Islam pun berhenti di tempat yang sama. Apabila dilihat tentera Islam yang ada di kalangan mereka itu orang munafik, mereka mula menyebar cerita yang bukan-bukan berunsur fitnah kononnya Saidatina Aisyah ada melakukan hubungan sulit dengan Safwan. Cerita fitnah ini berlanjutan sehinggalah tentera Islam selamat sampai ke Madinah.

Rasulullah mengambil sikap mendiamkan diri sehingga wahyu turun bagi menjelaskan perkara sebenar. Ada di antara sahabat mencadangkan kepada Rasulullah supaya menceraikan Aisyah dan tidak kurang juga yang menyarankan baginda terus bersama isteri baginda.

Sebulan lamanya wahyu tidak turun dan dalam tempoh itu juga Saidatina Aisyah ditimpa demam. Sehingga pada satu hari turunnya ayat surah al-Nur ayat 11-20 yang menjelaskan mengenai kesucian Aisyah dan pembuktian dia tidak bersalah melakukan perkara curang. Sejurus selepas turunnya ayat, Rasulullah bersabda yang maksudnya: "Wahai Aisyah, kini Allah mengisytiharkan kesucianmu daripada segala noda".

Sahabat yang menyebarkan berita fitnah Aisyah dan Safwan dijatuhkan hukuman sebat atas kesalahan menuduh orang melakukan zina dan dirotan 80 kali sebatan. Keburukan dan kejahatan kaum munafik terdedah di khalayak sehingga ada di kalangan mereka berasa amat malu.

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tarikh : 16 Disember 2007
Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM
Editor : PRO JAKIM
Hits : 1455

Sumber dari
http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=2231/


Cetak Halaman

Umat Islam dibelenggu pelbagai fitnah


Ustaz Zainudin Hashim
Thu | Oct 23, 08 | 11:49:31 am MYT

Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah).
Iklan

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hadisnya yang bermaksud:
" Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia di waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah, seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit."
Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah.

Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara, sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafiq, ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.

Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.
2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.
3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.
4- Fitnah melalui ungkapan.
5- Fitnah melalui penulisan.
6- Fitnah melalui iklan produk.
7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.
8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.
9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.
10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia. Fitnah..oh fitnah..dan banyak lagi.

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah 'Negara Islam', sedangkan pada masa mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.

Yang tidak menampakkan Islam secara jelas, isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).

Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai di kalangan orang Islam dalam negara Malaysia ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.

Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatoo, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.

Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata : Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir di zaman Rasulullah s.a.w.

5- Fitnah melalui penulisan.

Terdapat juga segelintir penulis yang pro aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.

6- Fitnah melalui iklan produk.

Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.


Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berta, termauk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.

Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

Satu lagi fitnah di akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan pengajian agama, malah terdapat pula replica masjid yang menelan blanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.


Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat, terdapat scenario di mana ada pekerja muslim di sebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang tabung haji dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.

Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang merasakan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.

Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT.


Sumber dari
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17506&Itemid=1/

Cetak Halaman

Elak Emosi Tangani Fitnah


Penyebaran maklumat yang pantas dalam era teknologi maklumat kini mendedahkan kita kepada kemungkinan difitnah atau menerima penyebaran fitnah. Kemudahan seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan e-mel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, ROY AZIS ABD. AZIZ menemu bual pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apakah perbezaan antara mengumpat dan fitnah?

MAHMOOD ZUHDI: Mengumpat itu adalah perbuatan mengeji atau mengutuk orang lain di luar pengetahuan orang tersebut.

Fitnah pula adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti.

Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah? Para sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: “Wahai Rasulullah jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku dikatakan?” Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (riwayat Muslim)

Fitnah ini bukan hanya berlaku sekarang. Saidatina Aishah juga pernah difitnah, begitu juga fitnah yang membawa kepada kematian khalifah Uthman Ibn Affan. Mengapa ia berlaku?

MAHMOOD ZUHDI: Dalam sejarah awal Islam, fitnah adalah berbentuk perbuatan mengadu domba atau melaga-lagakan orang. Sebabnya, orang Arab ketika itu masih kuat dipengaruhi semangat assabiyah atau kedaerahan.

Apabila nabi wafat, maka berlaku cubaan merampas kuasa oleh orang Muhajirin di Saqifah Bani Saad. Bagaimanapun cubaan itu berjaya dipatahkan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar.

Selain itu, orang Yahudi menabur fitnah untuk memecah-belahkan masyarakat.

Malah, pada ketika itu juga ada golongan yang ekstrem sehingga mewujudkan syiah (penyokong kuat) pemimpin tertentu seperti syiah Abu Bakar dan syiah Ali.

Dalam al-Quran, Allah berfirman, ...dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh...(al-Baqarah: 191). Mengapakah begitu besar ancaman fitnah ini kepada masyarakat?

MAHMOOD ZUHDI: Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Antara sebabnya adalah fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda.

Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu, dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza.

Mencuri hukumnya lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.

Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan ‘status’ sebagai Muslim.

Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu menerusi firman-Nya: ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?...(al-Hujurat: 12)

Sedangkan Islam menyuruh umatnya menutup keburukan yang dilakukan oleh saudara sesama Muslim. Bagi mereka yang menyembunyikan keburukan ini maka Allah akan sembunyikan keburukan mereka di akhirat. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW.

Dalam surah al-Hujurat ayat 6, kita diingatkan supaya berhati-hati apabila menerima berita daripada orang fasik. Persoalannya, bagaimana hendak mengetahui kefasikan seseorang itu?

MAHMOOD ZUHDI: Pengajaran yang lebih penting dalam ayat ini adalah membudayakan berhati-hati apabila menerima berita daripada orang kita ragui. Demikian juga apabila mendapat berita sama ada melalui khidmat pesanan suara (SMS), khabar angin, tuduhan melulu atau melalui Internet yang boleh dipertikaikan kejujurannya atau ada udang di sebalik batu, maka ini juga tergolong dalam kategori fasik.

Tentang maksud fasik ini ulama berbeza pandangan. Ada yang berkata, fasik itu ialah orang yang pernah membuat dosa besar. Satu pihak lagi mengatakan fasik itu ialah orang yang pernah melakukan dosa besar atau yang sentiasa membuat dosa besar.

Ada juga berita-berita kecil yang disensasikan oleh media. Dan ada juga berlaku di mana orang yang terlibat itu seronok sebab berita tentang dirinya dapat liputan meluas. Padahal natijahnya ia menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.

Apabila masyarakat terutama anak muda terbiasa hidup dalam suasana fitnah menjadi perkara biasa, mereka akan hilang sensitiviti. Akhirnya masyarakat jadi kucar-kacir dan menghakis idealisme perpaduan dalam Islam.

Bagaimanapun, masyarakat kini nampaknya lebih percaya kepada berita Internet berbanding dalam media arus perdana?

MAHMOOD ZUHDI: Dalam bab ini saya ingin memetik kata-kata Sheikh Mohd. Abduh, seorang tokoh di Mesir iaitu, “kebebasan yang tidak terkawal adalah lebih buruk daripada kongkongan yang stabil”.

Sekarang nampak seperti akhbar dan televisyen bukan lagi sumber pertama berita. Sebaliknya, orang kini lebih percaya kepada maklumat secara ‘curi’ yang dipaparkan di Internet. Ini adalah budaya masyarakat dunia ketiga.

Kita tiba-tiba berhadapan dengan kebebasan maklumat yang tidak biasa dinikmati sebelum ini. Sistem tapisan kita masih belum mencukupi.

Jadi ramai yang tumpas disebabkan kejutan budaya itu. Jadi, kita perlukan sedikit masa untuk stabilkan keadaan.

Analoginya, seorang kanak-kanak itu sukakan warna merah kerana coklat dan gula-gulanya berwarna merah. Namun, suatu hari dia termakan cili yang juga berwarna merah. Maka barulah dia tahu bahawa bukan semua berwarna merah itu menarik dan enak dimakan.

Dalam pada itu, media arus perdana yang mementingkan kebenaran berita perlu lebih menonjol dan merombak birokrasi di dalamnya. Ini supaya boleh menjiwai arus media picisan yang begitu kuat pengaruhnya dalam masyarakat sekarang.

Ini tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata. Dalam keadaan sekarang, setiap orang terdedah kepada keburukan yang terhasil akibat kebebasan maklumat tanpa kawalan. Hanya mereka yang kukuh imannya akan selamat.

Apakah sikap dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa fitnah itu tadi?

MAHMOOD ZUHDI: Di dunia, mangsa berhak pertahankan diri dan minta pihak yang memfitnah itu kemukakan bukti dan kenyataan bagi menyokong kebenaran dakwaan tersebut. Dari segi doktrinnya, mereka tetap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.

Dari segi agama, mangsa perlu bersabar dan tidak melakukan fitnah balas kepada orang yang memfitnah atau kepada pihak ketiga.

Kadang-kadang, kejadian ini adalah cubaan Allah untuk menguji keimanan seseorang. Baginda SAW sendiri pernah difitnah. Namun, fitnah atau tohmahan itu akan melahirkan peribadi yang lebih utuh.

Namun, jika sudah tidak mampu ditanggung atau ditahan lagi, kita akan melenting dan boleh membawa kepada kehancuran. Apabila terkena fitnah atau musibah, ia bukanlah 100 peratus keburukan. Mungkin yang kena fitnah itu akan terima sokongan ramai yang bersimpati dengannya.

Barangkali juga kesulitan dan ujian Allah ini baik untuk kita sebagaimana firman Allah, ...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu dan dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216).

Mari kita hayati kata-kata Imam Ghazali, “kekuatan itu bukan terletak orang yang boleh bergusti atau menang tetapi orang yang kuat ialah yang boleh menahan diri daripada bertindak liar apabila mereka dalam keadaan marah”.

Kebanyakan pemimpin dunia mempunyai sifat begini. Malah dalam Islam, kita juga perlu beriman dengan qada dan qadar. Ini membolehkan kita berasa tenang dan tidak resah gelisah walau apa pun yang berlaku kerana semuanya telah ditentukan Allah. Malah pergantungan terakhir adalah pada Allah Yang Esa.

Bagi budaya peradaban yang lebih tinggi, adalah dicadangkan supaya mangsa fitnah itu bersyukur kerana mujur tidak difitnah lebih besar daripada yang sekarang.

Apa pula reaksi orang Islam apabila berhadapan dengan hal sebegini?

MAHMOOD ZUHDI: Setiap Muslim tidak boleh terima bulat-bulat tohmahan atau fitnah yang disampaikan kecuali setelah diperiksa kesahihannya.

Sebab itu Islam sangat menentang sifat jahiliah iaitu sifat yang menggunakan persepsi semata-mata untuk menentukan kebenaran atau tidak. Sebaliknya, umat Islam perlu menggunakan keyakinan data ilmiah dalam menentukan benar atau salah sesuatu berita itu.

Bagi pengikut mana-mana individu, apabila berhadapan dengan fitnah hendaklah mereka bertenang dan tidak bertindak melampau. Sebagai manusia kita bukan maksum (terpelihara daripada dosa).

Malah, apabila berlaku kematian kita menyebut Inna Lillahi wa Inna Ilaihirajiiun (dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali). Apabila mendapat nikmat pula kita menyebut Alhamdulillah (segala puji bagi Allah).

Mereka yang tunjukkan reaksi bukan menunjukkan sifat Muslim yang ideal. Bukanlah langsung kita tidak boleh bereaksi spontan seperti rasa marah. Yang dilarang ialah rasa marah yang berpanjangan.

Sebabnya apabila emosi menguasai, kita tidak lagi menggunakan akal. Sedangkan yang sepatutnya akal menguasai emosi atau nafsu manusia.

Yang perlu kita ingat adalah apabila Allah turunkan bala, ia akan mengenai semua orang sama ada yang melakukan maksiat atau orang yang beriman.

Firman Allah: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya. (al-Anfal: 25)

Apakah pula kriteria yang membolehkan mubahalah dalam Islam?

MAHMOOD ZUHDI: Muhabalah (bersumpah dan memohon Allah melaknat orang yang berdusta) ini disebut dalam firman Allah: Maka barang siapa yang membantahmu mengenainya (agama) sesudah datang pengetahuan kepadamu, katakanlah kepada mereka: Marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian kita bermubahalah (dengan berdoa dan memohon) menjadikan laknat Allah ke atas ke atas orang-orang yang berdusta. (ali-‘Imran: 61)

Sebab turun ayat ini adalah bagi menceritakan pada suatu ketika Rasulullah SAW mengajak kaum nasrani (kristian) agar memeluk Islam dan membetulkan pandangan bahawa Nabi Isa itu bukan anak Tuhan.

Kaum nasrani kemudiannya meminta baginda mengemukakan bukti siapa lagi anak yang tidak mempunyai bapa selain Nabi Isa, lalu Nabi SAW berkata, Nabi Adam a.s.

Disebabkan tiada mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian itu, maka baginda mengajak kaum nasrani bermuhabalah. Apa yang menjadi pokok dalam muhabalah ini adalah sumpah dan mohon binasa bagi pihak yang menipu.

Bagaimanapun, kaum nasrani tadi khuatir lalu bertanya adakah cara lain selain itu, maka baginda menjawab ada iaitu melalui bayar jizyah.

Dengan kata lain, muhabalah hanya perlu apabila sudah tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Bagi kes lain termasuk pertuduhan jenayah, kita mempunyai institusi untuk menyiasat kebenaran dakwaan itu iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Maka, dalam kes sebegini ia tidak perlukan mubahalah. Kalau mereka yang terlibat ingin bersumpah itu soal lain.


Sumber dari
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm/


Cetak Halaman