Support US!

Search This Blog

Memaparkan catatan dengan label Ilmu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ilmu. Papar semua catatan

10 November 2009

Mudahkan Pendekatan Islam, Jangan Eksklusifkannya




Mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.
AMAT memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: “Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua.”

Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan.

Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak. Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia. Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira latar kehidupan dan pendidikan.
Memang, mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.

Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)

18 Jun 2008

Menghormati ulama

Ilmu membezakan antara ulama' dan orang biasa. Dengan ilmu seseorang itu dapat membezakan antara yang hak dan yang batil. Rasulullah s.a.w telah mengarah umatnya supaya menghormati para ulama'. Alasan di sebalik arahan ini ialah menghormati para ulama' sebenarnya menghormati ilmu agama yang mereka bawa. Menghina para ulama' pula maksudnya ialah memperkecilkan ilmu agama yang mereka bawa. Disebabkan inilah kita dapati para Orientalis mempertikaikan kehebatan Abu Hurairah. Tujuan mereka tidak lain tidak bukan ialah untuk meragukan kesasihan ilmu yang dibawa oleh Abu Hurairah yang merupakan periwayat hadith yang paling banyak. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

لَيْسَ مِن أمتي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيْرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيْرَنَا، وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا

Maksudnya: Tidak terdiri dari kalangan umatku orang yang tidak menghormati orang dewasa dan menyayangi si kecil, dan mengetahui hak orang alim di kalangan kami. (Ahmad No. 22807)

Mempertahankan ulama' dengan alasan-alasan yang berbentuk sangka baik.

Para ulama' adalah manusia biasa. Sebagai manusia mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Banyak peristiwa menunjukkan kesilapan para ulama' kita dalam mengeluarkan satu-satu hukum. Kekurangan di dalam ilmu hadith contohnya merupakan antara sebab mengapa mereka mengeluarkan hukum yang nampak jelas bercanggahan dengan dalil. Akan tetapi, sebagai individu muslim kita mestilah mencari alasan-alasan yang berlandaskan sangka baik apabila ada di kalangan mereka yang tersilap. Kisah Ka‘ab bin Malik dapat dijadikan pedoman di sini. Antara lain Ka’ab telah berkata:

<وَلَمْ يَذْكُرْنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَلَغَ تَبُوكَ فَقَالَ وَهُوَ جَالِسٌ فِي الْقَوْمِ بِتَبُوكَ مَا فَعَلَ كَعْبٌ فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلِمَةَ يَا رَسُولَ اللهِ حَبَسَهُ بُرْدَاهُ وَنَظَرُهُ فِي عِطْفِهِ فَقَالَ مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ بِئْسَ مَا قُلْتَ وَاللهِ يَا رَسُولَ اللهِ مَا عَلِمْنَا عَلَيْهِ إِلَّا خَيْرًا فَسَكَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: …Dan Rasulullah s.a.w tidak menyebut tentangku sehingga Baginda sampai ke Tabuk lalu Baginda berkata –semasa duduk bersama mereka – , “Apakah yang berlaku kepada Ka’ab?” Seorang lelaki daripada Bani Salamah menjawab, ‘Pakaiannya telah menghalang keluar…’ Lalu Muaz bin Jabal berkata, ‘Amat keji apa yang engkau katakan itu. Demi Allah! wahai Rasulullah, kami tidak mengetahui tentangnya kecuali perkara baik.’ Rasulullah s.a.w mendiam diri sahaja. (al-Bukhari No. 4066)

Adab-adab penuntut ilmu.

Di dalam usaha murni menuntut ilmu, seseorang individu itu mestilah mempunyai sifat-sifat mulia yang akan mengundang keberkatan kepada usahanya dan tidak merosakkannya. Di antara sifat-sifat mulia ini ialah:

Tidak mencari kelonggaran para ilmuan.

Seseorang individu muslim memang bertanggung jawab mencari kebenaran. Apabila tidak mengetahui, dia perlu bertanya kepada orang yang mengetahui. Dalam usahanya ini, dia mestilah ikhlas dan tidak bertujuan mencari yang mudah sahaja. Sekiranya dia bertanya lebih dari seorang dan mendapati lebih dari dua jawapan, di sini dia mestilah mempertimbangkan yang manakah lebih menepati kebenaran daripada jawapan-jawapan tersebut, lalu beramal dengannya. Pilihan yang dibuat adalah berdasarkan kekuatan dalil dan bukannya berdasarkan yang lebih mudah untuknya.

Sabda Rasulullah s.a.w. :


لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ وَلَا يَدْخُلُ النَّارَ يَعْنِي مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ إِيمَانٍ قَالَ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ إِنَّهُ يُعْجِبُنِي أَنْ يَكُونَ ثَوْبِي حَسَنًا وَنَعْلِي حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْجَمَالَ وَلَكِنَّ الْكِبْرَ مَنْ بَطَرَ الْحَقَّ وَغَمَصَ النَّاسَ


Maksudnya: “Tidak akan memasuki syurga orang yang mempunyai sebesar atom kesombongan dan tidak akan memasuki neraka orang yang mempunyai sebesar atom keimanan.” Seorang lelaki telah mengatakan bahawa dia amat suka mempunyai baju cantik dan kasut cantik. Sabda Rasulullah, “Sesungguhnya Allah sukakan kecantikan, akan tetapi kesombongan ialah orang yang menolak kebenaran dan memandang rendah manusia”. (al-Tirmizi No. 1922, Sahih: Sahih al-Tirmizi No. 1999)

Tuntutan ilmu

Setelah ilmu ditimba dari sumber-sumbernya yang asasi di samping sumber-sumber kefahaman yang muktabar, seharusnya ilmu tadi diterjemahkan kepada amalan. Ibarat ilmu tanpa amalan ialah ibarat harta tanpa zakat atau pokok yang tidak menghasilkan buah.

Firman Allah s.w.t. (al-Saf 61:2):



Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!"

Selain beramal, dakwah atau mengajak manusia kepada ilmu ini amat penting. Janganlah dakwah ini dianggap sebagai satu profesion khas para ustaz. Sebaliknya dakwah ini merangkumi dua jenis iaitu dakwah dengan penerangan dan dakwah dengan tingkah laku. Kebiasaannya, jenis yang kedua lebih efektif walaupun jenis yang pertama juga membuahkan semangat dan keyakinan.

Firman Allah s.w.t. (Hud 11:88):



Maksudnya: Nabi Syu'aib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali".

17 Jun 2008

Sumber ilmu

Di dalam Islam, ilmu adalah merupakan cahaya yang tidak ternilai harganya. Segala jenis ilmu datangnya dari Allah s.w.t jua. Allah s.w.t telah menjelaskan bahawa ilmu yang diberikannya kepada manusia hanyalah sedikit sahaja. Firman Allah s.w.t. (al-Isra’ 17:85):



Maksudnya: "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

Dari sudut agama, ilmu hanya boleh diambil daripada Wahyu yang merangkumi dua sumber asasi iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Di samping itu, kefahaman terhadap dua sumber ini mestilah diambil daripada pakar-pakarnya yang merangkumi Rasulullah, para sahabat, para tabi‘in, para tabi‘i al-tabi‘in dan para ulama' yang menjejaki jejak-jejak mereka. Firman Allah s.w.t (al-Nisa’ 4:59):



Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

Walaupun para pakar atau ulama' diberi tempat dalam ketaatan, akan tetapi sekiranya berlaku pertembungan pendapat, perlulah dikembalikan kepada dua sumber asasi ini jua iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Menggunakan ketajaman akal

Rasulullah s.a.w. sentiasa menggalakkan umat Islam agar menjana kemahiran berfikir mereka. Di antara cara yang dilakukan oleh Baginda untuk mengasah ketajaman akal mereka ialah dengan membuat soalan ‘trick’ atau teka-teki yang bermanfaat. Contohnya ialah hadith berikut:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مِنْ الشَّجَرِ شَجَرَةً لَا يَسْقُطُ وَرَقُهَا وَإِنَّهَا مَثَلُ الْمُسْلِمِ حَدِّثُونِي مَا هِيَ قَالَ فَوَقَعَ النَّاسُ فِي شَجَرِ الْبَوَادِي قَالَ عَبْدُ اللهِ فَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ فَاسْتَحْيَيْتُ ثُمَّ قَالُوا حَدِّثْنَا مَا هِيَ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ هِيَ النَّخْلَةُ
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi s.a.w. sabdanya, “Sesungguhnya terdapat satu pokok yang daunnya tidak gugur, pokok ini menyerupai orang muslim. Beritahu aku apakah pokok ini.” Orang ramai pun tercari-cari pokok itu. Abdullah berkata, ‘Terlintas dalam hatiku bahawa pokok itu ialah pokok tamar, tetapi aku agak malu.’ Kemudian mereka berkata, ‘Beritahulah kami apa pokok itu.’ Baginda menjawab, “Pokok tamar.” (al-Bukhari No. 60)

Tidak segan silu

Berkenaan dengan perasaan segan silu atau malu, ianya memang ditekankan oleh Islam. Di dalam sebuah hadith:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى رَجُلٍ مِنْ الْأَنْصَارِ وَهُوَ يَعِظُ أَخَاهُ فِي الْحَيَاءِ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعْهُ فَإِنَّ الْحَيَاءَ مِنْ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Bahawa Rasulullah s.a.w. telah berjalan di sebelah seorang lelaki dari kalangan al-Ansar sedang dia menasihati saudaranya berkenaan perasaan malu. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Biarkan dia, sesungguhnya perasaan malu ialah sebahagian daripada Iman.” (al-Bukhari No. 23)

Akan tetapi, sekiranya perkara yang hendak ditanya itu amat penting, perasaan ini mestilah diketepikan buat beberapa ketika. Jangan kita malu bertanya kerana takut digelar jahil. Di dalam sebuah hadith:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنْ الْحَقِّ فَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا احْتَلَمَتْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ فَغَطَّتْ أُمُّ سَلَمَةَ تَعْنِي وَجْهَهَا وَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللهِ أَوَتَحْتَلِمُ الْمَرْأَةُ قَالَ نَعَمْ تَرِبَتْ يَمِينُكِ فَبِمَ يُشْبِهُهَا وَلَدُهَا

Maksudnya: Daripada Ummu Salamah katanya, “Ummu Sulaim telah datang bertemu Rasulullah s.a.w. dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada kebenaran, adakah seseorang wanita itu wajib mandi sekiranya dia bermimpi?’ Jawab Nabi s.a.w., “Ya, jika dia nampak air.” Ummu Salamah menutup mukanya dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, adakah wanita bermimpi?’ Jawab Baginda, “Sudah tentu, bertuahlah kamu, kalau tidak bagaimanakah anaknya akan menyerupainya?” (al-Bukhari No. 127)

Ringkasnya ada malu yang dipuji dan ada malu yang dikeji. Jadi janganlah kita berasa malu semasa membuat ketaatan terhadap Allah s.w.t., dan jangan pula kita berasa berani semasa melakukan maksiat.

Banyak bertanya

Orang yang tidak mengetahui mestilah bertanya. Inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.. Amalan-amalan Baginda jelas menunjukkan kepentingan bertanya. Sebagai contoh apabila turunnya ayat (al-Taubah 9:108):



Maksudnya: "Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)".

Nabi s.a.w. telah bertanya kepada penduduk Quba’ tentang amalan mereka. Riwayat tersebut mencatatkan:

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ إِنَّ اللهَ قَدْ أَثْنَى عَلَيْكُمْ فِي الطُّهُورِ فَمَا طُهُورُكُمْ قَالُوا نَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ وَنَغْتَسِلُ مِنْ الْجَنَابَةِ وَنَسْتَنْجِي بِالْمَاءِ قَالَ فَهُوَ ذَاكَ فَعَلَيْكُمُوهُ

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Wahai sekelian al-Ansar, sesungguhnya Allah telah memuji kamu dalam kebersihan. Apakah bentuk kebersihan kamu?” Mereka menjawab, “Kami berwuduk untuk solat, mandi kerana janabah dan beristinjak dengan air.” Baginda bersabda, “Itulah dia, maka hendaklah kamu meneruskannya.” (Ibnu Majah 349, Sahih: Sahih Ibni Majah No. 290)

Inilah contoh yang mesti kita lakukan. Sekiranya ada perkara yang masih tidak diketahui, kita mesti maju untuk bertanya tentangnya.

Menerima kebenaran daripada sesiapa sahaja

Salah satu konsep atau manhaj yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam menimba ilmu ialah "kebenaran tetap kebenaran" dan "kebatilan tetap kebatilan". Dalam erti kata lain, kebenaran mesti diterima walaupun diutarakan oleh orang yang tidak beriman manakala kebatilan mesti ditolak walaupun dilafazkan oleh orang yang beriman. Di dalam sebuah hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ وَكَّلَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنْ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ الْحَدِيثَ فَقَالَ إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ ذَاكَ شَيْطَانٌ
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah katanya: Rasulullah s.a.w. telah mewakilkan aku supaya menjaga harta zakat Ramadhan lalu datang seorang lelaki mencuri makanan. Akupun menangkapnya dan berkata, ‘Aku akan membawa kamu kepada Rasulullah s.a.w. … lalu dia berkata, ‘Sekiranya kamu pergi ke katilmu, maka bacalah Ayat al-Kursi, kamu akan diiringi seorang penjaga daripada Allah dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga waktu pagi.’ Nabi s.a.w. bersabda, “Dia telah bercakap benar kepadamu sedangkan dia adalah penipu besar. Dia adalah syaitan.” (al-Bukhari No. 3033)

Mengambil ilmu dari guru yang berkaliber

Urusan agama adalah urusan yang serius. Urusan ini memerlukan keahlian yang tinggi di dalam individu yang memikulnya. Perkara ini telah dikesan oleh generasi terawal. Mereka amat mementingkan kredibiliti dan kemuliaan peribadi penyampai agama Islam. Kaliber sahaja tidak mencukupi. Satu perkara lain mesti ditambah di sini iaitu kesahihan maklumat yang dibawa oleh seseorang individu. Di dalam sebuah hadith:

<عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ أَصَابَهُ مِنْ بَعْضِ أَهْلِ الْكُتُبِ فَقَرَأَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَغَضِبَ فَقَالَ أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً لَا تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ مُوسَى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعَنِي

Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Umar bin al-Khattab datang kepada Nabi s.a.w. dengan satu kitab yang diambilnya daripada Ahli Kitab lalu dibaca oleh Nabi s.a.w.. Nabi murka seraya berkata, “Adakah kamu mempunyai keraguan tentangnya wahai Ibnul-Khattab? Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam tanganNya, sesungguhnya aku telah datang membawa risalah ini secara jelas dan suci. Janganlah kamu bertanya mereka tentang sesuatupun kerana samada mereka akan memberitahu kamu perkara benar lalu kamu mendustainya atau mereka akan memberitahu kamu perkara batil lalu kamu membernarkannya. Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam tanganNya, sekiranya Musa. masih hidup, dia mesti mengikutiku.” (Ahmad No. 14623, Isnaduhu Sahih: al-Bidayah wal-Nihayah 1:185)

14 Jun 2008

Memulakan Dengan Yang Terpenting Kemudian Yang Penting Dan Seterusnya

Satu perkara yang perlu diberikan penekanan di sini ialah memilih bidang ilmu untuk pengajian atau memilih kitab yang dapat dijadikan sumber rujukan. Cara yang terbaik ialah dengan memulakan projek pengajian dengan ilmu yang terpenting iaitu tentang rukun Iman dan Islam. Kemudian barulah disusuli dengan ilmu-ilmu lain yang penting tetapi tidak seperti ilmu-ilmu tadi.

Begitu juga dalam pembacaan, adalah penting dimulakan dengan kitab-kitab yang memberi penerangan terhadap dasar-dasar asasi Islam sebelum mengembangkan pembacaan kepada kitab-kitab yang mengutarakan pemikiran-pemikiran atau yang merupakan tambahan sahaja. Hadith Jibril wajarlah dijadikan pedoman di dalam perkara ini. Di dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. hanya menjelaskan perkara rukun yang paling asasi walaupun ajaran Islam masih banyak lagi. Hadith tersebut dibawa oleh Umar dengan berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya: Semasa kami bersama Rasulullah s.a.w. pada satu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang amat putih bajunya, amat hitam rambutnya, tidak kelihatan sebarang tanda pengembaraan padanya, dan tidak pula dikenali oleh seorang pun daripada kami. Dia pun maju sehingga duduk di depan Nabi s.a.w. lalu merapatkan dua lututnya dengan lutut Nabi dan meletakkan dua tangannya di atas dua pehanya seraya berkata, “Wahai Muhammad, beritahu kepadaku tentang Islam.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Islam ialah kamu naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad ialah pesuruh Allah, kamu dirikan solat, kamu tunaikan zakat, kamu berpuasa di bulan Ramadhan dan kamu menunaikan haji jika kamu berkemampuan.” Dia berkata, “Benar kata kamu”, Kata Umar: Kami berasa pelik bagaimana dia bertanya kemudian membenarkan. Dia bertanya lagi, “Beritahu kepadaku tentang Iman”. Jawab Baginda, “Kamu beriman dengan Allah, para malaikatNya, para rasulNya, Hari Akhirat dan kamu beriman dengan al-Qadar yang baik dan yang buruk.” Dia berkata, “Benar kata kamu”. Dia bertanya lagi, “Beritahu kepadaku tentang Ihsan”. Jawab Baginda, “Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak dapat berbuat demikian maka seolah-olah Dia melihatmu”.…(Muslim No. 9)

Menadah Ilmu Dari Para Ilmuan

Ilmu yang terjamin ialah ilmu yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w. Cara untuk mendapatkan ilmu itu ialah dengan mengambilnya daripada pewaris-pewaris Nabi s.a.w, iaitu para ulama'. Langkah yang terbaik ialah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu yang dikepalai oleh ilmuan yang berkemahiran. Langkah kedua ialah dengan membuka lembaran-lembaran karangan mereka. Kedua-dua langkah ini amat penting. Kadang-kadang mungkin tiada kesempatan untuk mengorak langkah pertama tetapi agak mudah untuk terus maju ke langkah kedua. Dalam keadaan ini sekiranya terdapat tulisan-tulisan yang agak rumit, wajarlah diamalkan kembali langkah pertama, setidak-tidaknya dengan mendapat penjelasan daripada mereka. Sabda Rasulullah s.a.w :


إِنَّ اللهَ لَا يَنْتَزِعُ الْعِلْمَ مِنْ النَّاسِ انْتِزَاعًا وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعُلَمَاءَ فَيَرْفَعُ الْعِلْمَ مَعَهُمْ وَيُبْقِي فِي النَّاسِ رُءُوسًا جُهَّالًا يُفْتُونَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَيَضِلُّونَ وَيُضِلُّونَ


Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu daripada manusia secara terus, akan tetapi Allah mewafatkan para ulama' lalu diangkatnya ilmu bersama mereka. Allah akan meninggalkan di kalangan manusia pemimpin-pemimpin yang jahil di mana mereka akan memberi fatwa tanpa ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan. (Muslim No. 3829)

Manhaj al-Sunnah dalam menimba ilmu

Setelah mengetahui kedudukan dan kepentingannya, wajarlah pula kita menyelidik bagaimanakah caranya untuk menimba ilmu ini? Pastinya Rasulullah s.a.w tidak ketinggalan dalam menjelaskan perkara ini kepada kita, jadi marilah kita menyingkap petunjuk-petunjuk Baginda s.a.w dalam perkara ini. Di antara petunjuk-petunjuk itu ialah:

• Ikhlas

Di dalam menuntut ilmu, niat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. sahaja. Menuntut ilmu dengan tujuan duniawi hanya akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w :

مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا

Maksudnya: Sesiapa mempelajari ilmu yang sepatutnya diharapkan dengannya wajah Allah s.w.t. , tetapi dia mempelajarinya untuk mendapat habuan dunia, dia tidak akan dapat menghidu bau syurga pada hari Kiamat. (Abu Daud, No. 3179, Sahih: Sahih Abi Daud No. 3664)

Kedudukan Ilmu

Ilmu yang menjana iman mempunyai kedudukan yang mulia di dalam ajaran islam. Allah swt telah menjelaskan kepada kita bahawa orang yang mempunyai ilmu adalah lebih tinggi tarafnya daripada orang yang ketandusan ilmu.

Firman Allah s.w.t



“ (Engkaulah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya) : Adakah sama bagi orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”.

(al-Zumar 39: 9)


Tambahan kepada kenyataan ini, Allah swt. Mengarahkan pula orang yang tidak mempunyai ilmu supaya merisiknya daripada orang yang mempunyai kelebihan ini. Jelaslah dengan ini bahawa ilmu itu amat penting untuk menjamin kesejahteraan manusia baik di dunia mahupun akhirat.


Firman Allah s.w.t



“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyakan kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”.

(alNahl 16:43)

Ilmu di dalam islam ialah ilmu tentang agama suci ini dan segala jenis ilmu yang dapat memantapkan islam dari sudut kefahaman dan praktikal.