Support US!

Search This Blog

10 November 2009

Keluasan Menerima Pendapat, Keperluan Muslim Moden





Mereka yang taksub kepada pendapat seseorang, enggan mendengar pendapat orang lain sekalipun pihak lain memberi hujah dan dalil yang kukuh. Sesuatu pendapat sepatutnya diterima bukan atas nama individu tetapi atas alasan atau fakta.
DAHULU atau sekarang, seseorang tidak akan dapat menjadi insan yang adil terhadap sesuatu hakikat dan maju ke hadapan jika dia bersifat jumud dan menutup pemikirannya dari mendengar dalil dan fakta disebabkan sesuatu sentimen.

Sikap seperti itu dinamakan fanatik atau taksub.

Mereka yang taksub kepada pendapat seseorang, enggan mendengar pendapat orang lain sekalipun pihak lain memberi hujah dan dalil yang kukuh. Sesuatu pendapat sepatutnya diterima bukan atas nama individu tetapi atas alasan atau fakta.

Fanatik berlaku di kalangan sesetengah umat Islam sejak dahulu sehingga membawa permusuhan sesama Islam. Dalam era ketaksuban dahulu, di Masjidilharam, umat Islam bersolat dengan empat imam yang mewakili mazhab masing-masing. Makmum memilih imam yang sesuai. Seakan-akan solat di belakang imam lain tidak sah. Bayangkan jika hal tersebut berterusan sehingga hari ini.

Selepas Rasulullah s.a.w. wafat, baginda meninggalkan ramai sahabat yang merupakan ilmuwan besar. Namun, tiada di kalangan sahabat menyatakan sesiapa yang mengambil pendapat saya maka dia tidak boleh mengambil pendapat orang lain.

Perkara yang seperti itu tidak pernah didakwa oleh Khalifah yang empat, atau ‘Abd Allah bin Masud, ‘Abd Allah bin ‘Umar, atau ‘Abd Allah bin ‘Abbas atau selain mereka. Padahal mereka lebih memahami syariat Rasulullah.

Malangnya, apabila muncul imam-imam mazhab seperti al-Imam Abu Hanifah (80H-150H), al-Imam Malik bin Anas (93H-179H), al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie (150H-204H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (164H-241H) dan lain- lain tokoh, tiba-tiba ada di kalangan pengikut mereka yang taksub mendakwa bahawa sesiapa yang mengambil pendapat dari salah seorang imam ini tidak boleh lagi mengambilnya dari imam lain.

Ini seperti pengikut fanatik mazhab Hanafi yang membantah orang Pakistan mengambil pendapat selain dari mazhab Hanafi. Atau pengikut fanatik mazhab Malik membantah Morocco mengambil pendapat selain dari mazhab Malik. Atau pengikut fanatik mazhab al-Syafii membantah orang Malaysia mengambil selain dari mazhab al- Syafii.

Mudahkan Pendekatan Islam, Jangan Eksklusifkannya




Mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.
AMAT memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: “Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua.”

Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan.

Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak. Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia. Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira latar kehidupan dan pendidikan.
Memang, mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.

Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)

Misteri Wahhabi Di Malaysia

Sumber : http://drmaza.com/home/?p=805#more-805


(Artikel lama, dicadangkan untuk bacaan)

Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).


Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.
Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham. Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahhabi”. Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahhabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahhabi”. Maka tidaklah berani lagi ‘penasihat’ itu berbeza pandangan dengan ‘tok imam’ dan mempertikaikan ‘infallibility’ ustaz, takut jadi wahhabi.




- Gambar Hiasan

05 November 2009

Pesanan buat diriku yang sering lupa!!

Pesanan buat diriku yang sering lupa!!: "' Jika aku sedang lupa.. tolong ingatkanlah aku.. moga ada keinsafan buat diriku yang sering lupa.. '"

23 Oktober 2009

Kenapa Perlu Berda'wah?

1] Dakwah merupakan jalan hidup Rasul dan pengikutnya

Allah ta’ala berfirman (yang ertinya), “Katakanlah, Inilah jalanku; aku menyeru kepada Allah di atas landasan ilmu yang nyata, inilah jalanku dan orang-orang yang mengikutiku…” (Qs. Yusuf: 108)

Berdasarkan ayat yang mulia ini Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah mengambil sebuah pelajaran yang amat berharga, iaitu: Dakwah ila Allah (mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah) merupakan jalan orang yang mengikuti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, sebagaimana yang beliau tuliskan di dalam Kitab Tauhid bab Ad-Du’a ila syahadati an la ilaha illallah (Ibthal At-Tandid, hal. 44).


[2] Dakwah merupakan ciri-ciri orang-orang yang muflih (berjaya)

Allah ta’ala berfirman (yang ertinya), “Hendaklah ada di antara kalian segolongan orang yang mendakwahkan kepada kebaikan, memerintahkan yang ma’ruf, melarang yang mungkar. Mereka itulah sebenarnya orang-orang yang beruntung.” (Qs. Ali-’Imran: 104)

Ibnu Kathir rahimahullah menyebutkan riwayat daripada Abu Ja’far Al-Baqir setelah membaca ayat “Hendaklah ada di antara kalian segolongan orang yang mendakwahkan kepada kebaikan” maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Yang dimaksud kebaikan itu adalah mengikuti Al-Qur’an dan Sunnah-ku.” (HR. Ibnu Mardawaih) (Tafsir Al-Qur’an Al-’Azhim, jilid 2 hal. 66)