Support US!

Search This Blog

13 Oktober 2008

Susulan Yang Harus Kita Lakukan Walaupun Ramadhan Telah Berlalu

Rasa Syukur/Terhutang Budi

Sekiranya tidak ditunjukkan rasa syukur, Allah mungkin menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang menerima nikmat atau rahmat tersebut. Contohnya, dalam surah Al-Kahfi, pemilik kebun itu dihukum oleh Allah dengan kebinasaan kebun itu sendiri (kebun itu pada asalnya merupakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah). Begitu juga dengan nasib Firaun yang bongkak membanggakan sungai-sungai yang mengalir dibawahnya. Allah menjadikan air sungai tersebut memusnahkan Firaun hingga dia lemas dalam air yang dibanggakan itu.

Bagaimana cara kita berterima kasih kepada Allah atas rahmat/nikmat yang dikurniakan?
Rasa syukur/terhutang budi tertegak atas tiga tiang.

Rasa Terkesan Dalam Hati Perasaan Bersyukur Yang Teramat Sangat

Allah berfirman dalam surah Al-Maidah (surah 5) ayat 7 “ Dan kenanglah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya) kepada kamu, serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: “ kami dengar dan kami taat (akan perintah Allah dan Rasulnya).” Dan bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dadamu” Ingatlah nimat Allah. Tanamkan dalam hati, perasaan syukur yang mendalam. Sebutlah, “Ya Allah, hanya dengan rahmatMu dapat aku berpuasa. Hanya dengan rahmatMu dapat ku jalankan ibadah Qiamulail, iktikaf, khatam Quran… Hanya dengan belas kasihanMu.. Hanya Engkau yang membolehkan aku melakukan semua itu… Ya Allah, Engkau membuka berbagai pintu untukku… Engkau terus memberikan aku berbagai rahmat…”. Seterusnya , cuba renungkan dan ingat kembali saat-saat yang dialami pada bulan Ramadhan-misalnya, saat ketika kamu paling khusyuk dalam solat. Saat kamu rasa amat hina dan daif serta tertunduknya perasaan angkuh dalam diri, saat kamu rasa teramat hampir dengan Allah, saat kamu melawan keras keinginan untuk tidur. Kesemua ini adalah rahmat daripada Allah. Merayulah kepada Allah dengan doa, “Ya Allah, peliharalah segala nikmat ini untukku, tambahkanlah nikmat ini untukku. Ameen Allahumma Ameen.”

Inkisa’ar (Rasa Daif Hina/Rendah Hati)

Inkisa’ar bermaksud rasa kedaifan diri iaitu menundukkan perasaan angkuh dalam diri di hadapan Allah dengan penuh perasaan hina dan rendah hati. Kita telah menikmati kebesaran Allah. Orang yang amalannya diterima oleh Allah akan berasa bahagia dengan pemberian Allah. Dia akan merenung segala nikmat yang dikurnikan oleh Allah. Sedarilah bahawa semua kebaikan yang kita terima datang sepenuhnya dari Allah. Kita mungkin memasang 3 buah jam loceng untuk mengejutkan kamu dari tidur tapi hanya dengan izin Allah saja kamu akan dapat bangun mengerjakan ibadah Qiamulail. Kita perlu rasa rendah hati kerana kesemua itu datang daripada Allah. Sifat buruk seperti membazir masa untuk berbual kosong, berbalas mesej (sms), chating, dan perkara negative yang datangnya dari diri kita sendiri akibat kelemahan diri kita. Ibadah yang kamu lakukan, kesemuanya datang daripada Allah. Sebutlah, “ Ya Allah, Yang Maha besar.

Sedarilah bahawa semua kebaikan yang kita terima datang sepenuhnya daripada Allah. Kita mungkin memasang 3 buah jam loceng untuk mengejutkan kita dari tidur tetapi hanya dengan izin Allah sahaja kita akan dapat bangun mengerjakan ibadah Qiamullail. Kita perlu rasa rendah hati kerana kesemua itu datang daripada Allah. Sifat buruk seperti membazir masa untuk berbual kosong, berbalas mesej (sms), dan perkara negative datangnya daripada diri kita sendiri akibat kelemahan diri kita. Ibadah yang kita lakukan, kesemuanya dating daripada Allah. Sebutlah, “Ya Allah, Yang Maha Besar, Engkaulah yang memberikan ku segala kebaikan, kesemuanya daripada Engkau Ya Allah,”. Apabila kita benar-benar merasakan semua kebaikan datang daripada Allah, maka itulah sebenarnya perasaan syukur.

Dalam surah Al An’aam surah 6 ayat 162 ada disebut perkara yang bermaksud, “katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam ”. Dengan itu, tanamkan persaan rendah hati serta daif hina hingga dapat menundukkan perasaan angkuh dala diri. Rasai kebesaran Allah iaitu kuasa mutlak Allah swt (seperti yang disebut dalam surah Al- Kahfi surah 18 ayat 39,
“ tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah ”.

Dalam setiap amalan yang dilakukan, perhatikan dua perkara:
Kebaikannya datang daripada Allah, dan apa-apa keburukannya datang daripada diri kita sendiri.

Muhasabah Diri

Ini bermaksud sikap mengambil tanggungjawap terhadap perlakuan diri sendiri. Ramadhan merupakan kayu pengukur kita. Contohnya, untuk menentukan adakah hati kita kini seperti pada bulan Ramadhan? Adakah solat kita kini seperti pada bulan Ramadhan? Adakah kita menjaga lidah kita seperti pada bulan Ramadhan? Adakah peribadi kita kini terjaga seperti pada bulan Ramadhan? Cuba bayangkan jika Allah berkata, “ hambaku, setelah Ku izinkan kau menikmati kemanisan Ramadhan, aku berikan mu cahaya, Aku melepaskan mu daripada belenggu kehinaan, dan keluarkan kamu dari kegelapan (melalui ibadah Qiamullail).. maka bagaimana kamu boleh membelakangkan itu semua? Sekiranya kamu jahil, mungkin kamu dapat dimaafkan, tetapi kamu dikurnikan nikmat!”

Bagaimana boleh terjadi seseorang yang telah memegang Al Quran, membacanya, memahami maksudnya, menghayatinya dalam kehidupan ketika Ramadhan, tetapi kemudian meninggalkannya selepas Ramadhan?? Bagaimana boleh terjadi seseorang yang telah berdiri malam seorang diri menjalani ibadah Qiamullail, telah menikmati kemanisan berjaga malam berbicara dengan Allah, tetapi kemudian meninggalkan itu semua? Selepas Ramadhan, kamu menghabiskan masa bergelak ketawa, tidur, menonton TV! Sebenarnya, kehidupan pada bulan Ramadhan dan selepas Ramadhan tidak patut berbeza. Kehidupan pada bulan Ramadhan harus menjadi contoh tentang ara bagaimana kita patut menjalani kehidupan harian kita.

Ikhlas

Hati kita perlu sentiasa di suatu tahap suci - bersih iaitu jujur ikhlas. Sekiranya seseorang menghayati Ramadhan dengan ikhlas, dia tidak dapat patah balik ke belakang. Contohnya, jika seseorang sedang berpuasa dan terdapat buah kurma serta air di depannya, kemudian ada orang menyuruh dia minum dan memakannya, sesetengah orang akan berkata, “ saya tidak boleh merosakkan puasa saya”, sedangkan seorang lagi akan berkata, “ saya tidak boleh makan atau minum sehingga Tuan saya (Allah) memerintahkan saya (berbuka puasa)”- nampak atau tidak perbezaannya??

Istiqamah

(kesinambungan, berpegang teguh secara berterusan, tegas).

Seorang mukmin akan terus beristiqamah atau berpegang teguh pada ibadahnya. Ibadah Puasa bukan hanya untuk bulan Ramadhan. Terdapat banyak lagi hari-hari lain yang sunat kita berpuasa. Contohnya 6 hari pada bulan Syawal, 10 hari pertama bulan Zulhijjah, setiap Isnin dan Khamis, hari pada pertengahan bulan Islam, juga pada bulan Muharram, Rejap, Sya’aban dan lain-lain. Tentang ibadah pembacaan Quran pula- adakah ibadah ini terus lenyap juga? Adakah pembacaan Quran hanya dilakukan pada bulan Ramadhan? Quran sebenarnya ialah mukjizat yang berterusan. Kita tidak sepatutnya meninggalkan Quran dengan berakhirnya Ramadhan. Kita perlu duduk mengaji setiap hari. Quran boleh menjadikan kita beristiqamah, InsyaAllah. Sebagai cadangan, luangkan 1 jam sehari bersama Quran - mungkin untuk belajar membaca dengan betul, baca maknanya, baca tafsir atau adakan program menghafal Al-Quran. Setelah beberapa lama, kamu boleh memanjangkan masa sejam ini kepada masa yang lebih lama. Apabila Allah membuka pintu RahmahNya untuk kamu, jangan melepaskan peluang tersebut. Mengikut satu riwayat, Urwah bin Zubayr membaca seperempat daripada Quran setiap hari, kemudian merenung maknanya. Suatu hari, kakinya terpaksa dipotong, jadi beliau meminta supaya kakinya dipotong ketika beliau tengah bersolat iaitu dalam keadaan beliau amat khusyuk. Beliau tidak pernah meninggalkan ibadah membaca seperempat daripada al-Quran selain pada malam kakinya dipotong - beliau pengsan selepas solat tersebut. Beliau benar-benar mengasihi al-Quran. Beliau berkata: “Alhamdulillah, Allah memberiku dua kaki. Allah hanya mengambil balik satu kaki. Allah memberikan aku 4 orang anak, dan hanya mengambil balik seorang. Inilah contoh manusia yang memahami apa yang dibaca setiap hari dalam al-Quran.

Qiyamullail

Teruskan ibadah Qiyamullail walaupun selepas Ramadhan. Bagaimana boleh terjadi seseorang yang telah menikmati kemanisan Qiamullail pada malam hari dan kemanisan merayu kepada Allah ketika sujud, kemudian kembali kepada keadaan asal? Menurut satu cerita, hassan Ibn Soleh pernah menjual seorang hamba perempuan kepada sebuah keluarga. Hamba sahaya tersebut mengejutkan keluarga tersebut pada malam hari sambil menjerit, “ Salaah! Salaah” (solat! Solat!). tuannya bertanya “ sudahkah tiba waktu fajar?” hamba perempuan tersebut lalu berkata, “ Tuan sekeluarga cuma mengerjakan solat fardhu sahaja”? Lalu hamba tersebut pulang kepada Hassan Ibn Soleh dan berkata, “ Tuan menjualkan saya kepada keluarga yang hanya mengerjakan solat fardhu. Ambillah saya kembali!”

Rasulullah dan para Salaf tidak pernah meninggalkan Qiamullail. Pada suatu hari ‘Ali r.a. mengimamkan solat. Setelah selesai solat, beliau pusing ke belakang mengadap jemaah. Wajahnya kelihatan sedih. Beliau berkata, beliau sering menghabiskan masa dengan Sahabat Rasulullah saw tetapi kini mereka sudah tidak kelihatan lagi (Beliau ketika itu sedang bercakap kepada para tabiin iaitu generasi yang pernah bertemu Sahabat Rasulullah saw). ‘Ali r.a. lalu berkata, sahabat Rasulullah saw berehat antara kaki dan dahi mereka! (maksudnya, mereka banyak mengerjakan solat umpama rehat bagi mereka kerana mereka berasa tenang ketika bersolat).

Sila ambil perhatian tentang amalan tidur awal. Nabi saw menasihatkan kita supaya terus tido awal selepas solat Isyak. Ini juga merupakan suatu kebiasaan yang baik dan sihat. Salah satu hadith yang menjelaskan kebaikan amalan tidur awal ini diceritakan oleh Abu Barzah al-Aslami yang mengatakan Nabi saw. Lebih suka melambatkan solat Isyak dan baginda tidak tidur sebelum itu atau bercakap-cakap selepas itu (hadith riwayat al-Bukhari).

Dengan demikian, dinasihatkan supaya kita terus menjalani ibadah Qiyamullail walaupun selepas bulan Ramadhan, IsyaAllah. Berdoalah agar Allah tetap merahmati kita dengan ibadah Qiamullail hingga ke hari kita bertemu denganNya.

Zikir
Teruskan amalan berzikir walaupun selepas Ramadhan.


Masjid


Kita sedia maklum bahawa hadith mengatakan wanita lebih baik bersolat di rumah. Walau bagaimanapun, Nabi saw pernah bersabda:

“ Jangan menghalang wanita mengunjungi masjid, walaupun rumah mereka lebih baik untuk mereka ”. (Abu Dawud). Jadi untuk membolehkan para wanita menghidupkan semula kemanisan berqiamullail pada bulan Ramadan, sekali sekala bolehlah mereka ke masjid untuk bersolat agar dapat mereka mengenang kembali pengalaman menikmati kemanisan mendengar secara langsung kuatnya bunyi azan, sambil banyak berdoa antara waktu bunyi azan dan iqaamah, dan juga smbil berdiri bersentuh bahu dan kaki dengan jemaah wanita lain dalamkeadaan iman, disamping perkara-perkara lain lagi.

Solat Nawafil

Selalulah amalkan solat nawafil. Solat tersebut boleh menjadi pelindung kepada kita.


Isti’aanah (mengharapkan pertolongan Allah)

Isti’anah terhadap Allah bermaksud bergantung harap terhadap Allah untuk mendapatkan kebaikan serta yakin Allah akan memberi kita apa yang dipinta. Kita perlu yakin kepada Allah. Sekiranya kita memohon kepada Allah tapi tidak yakin doa itu akan dimakbulkan, maka itu bukanlah isti’anah dan bukan ibadah.

Isti’anah berkait rapat dengan sifat tawakkal. Apakah kepentingan isti’anah dalam ibadah? Ia merupakan cara mencapai kebahagian di dunia.

Sebagai kesimpulan, pada asalnya, teruskan saja menjalankan sebarang amal salih yang dilakukan pada bulan ramadhan yang mulia. Selepas bulan Ramadhan, kita seharusnya berada dalam keadaan di mana kita boleh menolak bisikan syaitan dan kita mampu berkata, “ aku tidak mahu (mengikut syaitan), aku telah melindungi hatiku. Allah telah menyelamatkan aku pada bulan Ramadhan. Aku tidak akan kembali kepada kepada keadaan duku.” Di samping itu, selalulah bertaubat. Cepat-cepatlah bertaubat bila kita melakukan dosa.

Ya Allah, aku lemah. Engkau Maha Berkuasa. Ya Allah, bantulah aku menjalani hidup dengan cara yang disenangi olehMu

Berwaspadalah agar kita tidak kembali kepada cara hidup sebelum Ramadhan. Kehidupan kita tidak berakhir selepas berlalunya Ramadhan. Teruskanlah menyembah Tuhan yang disembah pada bulan ramadhan sepanjang tahun. Dialah Tuhan yang dihadapannya kamu menangis semasa bulan Ramadhan dan juga selepas bulan Ramadhan!


Cetak Halaman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan