Support US!

Search This Blog

04 Julai 2009

Tradisi Upacara Wanita Selamat Hamil

Tradisi ini biasanya dilakukan dengan kenduri dan acara-acara tertentu pada kandungan 7 bulan. Tradisi ini dikenali oleh masyarakat Malaysia sebagai ‘lenggang perut’.

Persoalannya, adakah upacara ini dituntut oleh Islam? Adakah perbuatan ini merupakan perkara yang dibolehkan atau yang dilarang di dalam Islam? Di dalam masyarakat Islam di Malaysia, upacara ini biasanya dimulakan dengan bacaan surah Yusuf oleh seorang imam yang dijemput ke rumah orang yang berhajat. Dalam upacara ini dihidangkan pula beraneka makanan tertentu sebagai kenduri upacara ‘lenggang perut’. Makanan yang dihidangkan diletakkan di tengah jemputan yang hadir, dan biasanya ditempatkan di depan imam yang membacakan surah Yusuf.

Mengapa surah Yusuf yang dibacakan? Apa sebabnya dalam upacra ini disertakan sesuatu benda tertentu dan makanan yang tertentu? Apakah ada tuntutan dari Rasulullah s.a.w. untuk menyelenggarakan upacara ini?

Upacara ‘selamat hamil’ ini tidak ada tuntutan dari Rasulullah mahupun para sahabat. Kenapa ada di antara kita yang bersusah payah untuk melakukannya? Sedangkan ianya bukan mendatangkan faedah atau pahala kepada orang yang melakukannya pun. Apatah lagi dalam upacara ini, dibacakan surah Yusuf dan segala jamuan yang sama sekali bertentangan dengan ajaran tauhid.

Tradisi upacara ‘selamat hamil’ ini muncul daripada tradisi penyembahan dewa atau kepercayaan animisme. Setelah Islam masuk ke Malaysia, upacara ini dikendalikan sedemikian rupa dengan tambahan bacaan surah Yusuf. Semua ini sama sekali tidak ada kebenarannya menurut ajaran Islam.

Setiap kepercayaan terhadap hal-hal ghaib wajib didasarkan pada ketentuan al-Quran atau Hadis yang shahih. Bukannya berdasarkan amalan tradisi nenek moyang. Sesungguhnya yang mengetahui hal-hal ghaib itu hanyalah Allah s.w.t. sahaja. Allah berfirman dalam surah Al-An’aam ayat 59:


Ertinya:
“… dan pada sisiNya ada kunci-kunci ghaib tiada yang mengetahuinya, kecuali hanya Dia semata-mata...”


Dan firmanNya pula dalam surah al-An’am ayat 50 :


Ertinya:
“Katakanlah : ‘ aku tidak mengatakan kepada kamu bahawa aku memiliki kekayaan Allah dan tidak pula aku mengetahui hal ghaib…”

Ayat pertama menegaskan bahawa kepercayaan tentang hal ghaib itu tidak boleh diterima kecuali hal itu benar-benar diajarkan oleh Allah. Oleh itu, manusia sama sekali tidak boleh mere-reka apa sahaja upacara yang dianggap satu ibadah yang mulia dengan cara apa sekali pun kecuali hal itu benar-benar diajarkan oleh Allah. Ayat kedua menegaskan bahawa seorang rasul sekalipun tidak tahu sedikit pun tentang hal ghaib. Oleh itu, manusia selain rasul sudah pasti lebih tidak mengetahui hal-hal berkaitan perkara ghaib.

Upacara itu dengan pelbagai cara yang terlihat di tengah masyarakat Malaysia adalah suatu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam. Kepercayaan yang terkandung di dalam upacra tersebut jelas bukan datangnya dari ajaran Allah s.w.t. dan RasulNya, melainkan dari reka cipta tradisi.

1 ulasan:

  1. Assalaamu'alaikum w.b.t... toyyib2 alhamdulillah, semoga blog ini makin memberi manfaat. salam ukhuwwah, baarokallahu lakum :)

    BalasPadam