Support US!

Search This Blog

21 Ogos 2009

Selamat mengikuti kursus di IPT terunggul !

Dengan izin Allah Ta'ala jua, esok yang bermula dengan terbenamnya matahari hari ini akan menyaksikan keseluruhan umat Islam 'berdaftar' sebagai 'penuntut-penuntut' satu 'IPT' terunggul dalam sejarah peradaban manusia. 'IPT' itu ialah Bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan.

'Kursus-kursus intensif' dan 'mesra pelanggan' yang disediakan dalam Bulan Ramadan sebagai Institut Penerapan Taqwa ini wajarlah dipelajari dan dihayati dengan kecerdikan 'study smart' dan kesungguhan 'study hard'.

Firman Allah Ta'ala al-Baqarah (2:183):

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Definisi Taqwa telah dihuraikan oleh para ulamak seperti berikut :
i. Meletakkan penghalang dan penghadang di antaramu dan apa yang diharamkan oleh Allah.

أن تجعل بينك وبين ما حرم الله حاجبا وحاجزا

ii. Melaksanakan perintah Allah dan menghindari laranganNya.

امتثال أوامر الله واجتناب النواهي

iii. Takutkan Allah, beramal dengan wahyu, reda dengan sedikit serta bersedia untuk hari pembalasan.


الخوف من الجليل، والعمل بالتنزيل، والقناعة بالقليل، والاستعداد ليوم الرحيل

iv. Melaksanakan amalan taat dan meninggalkan amalan maksiat.

فعل طاعته واجتناب معاصيه.

v. Umar pernah bertanya Ubay bin Ka‘b, ‘Apakah itu taqwa?’ Ubay menjawab, ‘Wahai Amir al-mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?’ Umar menjawab, ‘Ya.’ Ubay berkata, ‘Apakah yang engkau lakukan?’ Umar menjawab, ‘Aku menyingsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri.’ Ubay berkata, ‘Itulah taqwa!’

وقد سأل عمر رضي الله عنه أبي بن كعب فقال له: ما التقوى؟ فقال أبي: يا أمير المؤمنين أما سلكت طريقا فيه شوك؟ قال: نعم .. قال: فما ذا فعلت؟ قال عمر: أشمر عن ساقي وأنظر إلى مواضع قدمي وأقدم قدما وأؤخر أخرى مخافة أن تصيبني شوكة. فقال أبي بن كعب: تلك التقوى!


Dengan ini dapatlah dikategorikan taqwa itu kepada dua sudut iaitu:
i. Pertama, dari sudut praktikal (amalan): Taqwa ialah pelaksanaan perkara yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah Ta'ala. Dari sudut ini, taqwa ialah pelaksanaan agama Islam yang merangkumi wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
ii. Kedua, dari sudut kerohanian (pendirian): Taqwa ialah kewaspadaan dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini. Dari sudut ini, taqwa ialah penilaian hati yang suci terhadap setiap perkara yang dihadapi oleh muslim. Dengan lafaz lain, taqwa dari sudut ini ialah timbang rasa atau berhati-hati.


Untuk mendapatkan taqwa, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan garis panduannya yang dapat dirangkumkan dalam dua ungkapan mudah iaitu mempergiatkan amalan baik dan menghentikan amalan buruk. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.”

Sebagai pendahuluan, berikut dijelaskan beberapa konsep kebaikan yang secara langsungnya berlawanan dengan konsep keburukan:
i. Keazaman kental yang disusuli usaha, lawannya tiada kehendak yang menyebabkan tiada persiapan. Firman Allah Ta‘ala (Ali Imran 3:159):

Maksudnya: Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Firman Allah Ta‘ala lagi (al-Taubah 9:46):

Maksudnya: Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka dan dikatakan (oleh Syaitan): Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal.

ii. Bersegera, lawannya melewat-lewatkan. Firman Allah Ta‘ala (Ali Imran 3:133):

Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

Firman Allah Ta‘ala lagi (al-Nisa’ 4:72):

Maksudnya: Dan sesungguhnya ada di antara kamu: Orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang).

iii. Berekonomi, lawannya melampau. Firman Allah Ta‘ala (al-Taghabun 64:16):

Maksudnya: Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seorangpun yang keterlaluan dalam amalan agama kecuali dia akan dikalahkan oleh agama. Jadi hendaklah kamu berusaha menepati kebenaran dan berusaha menepati kesempurnaan serta bergembiralah (dengan janji-janji baik Allah). Hendaklah kamu berusaha pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.”

iv. Berterusan, lawannya terputus. Sabda Rasulullah s.a.w.:

وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ.

Maksudnya: Sebaik-baik amalan di sisi Allah Ta'ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ. قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ مَا الاِسْتِعْجَالُ؟ قال يَقُوْلُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيْبُ لِيْ فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ.

Maksudnya: Akan sentiasa dimakbulkan bagi seseorang hamba itu sekiranya dia tidak berdoa meminta perkara berdosa atau memutuskan silaturrahim, selagimana dia tidak tergopoh-gapah. Lalu sahabatpun bertanya; Ya Rasulullah, apakah dia tergopoh-gapah itu? Sabda Baginda; Dia (pendoa) berkata; Aku telahpun berdoa dan berdoa, tetapi aku tidak nampak doaku dimakbulkan untukku. Lalu diapun merasa dukacita dan meninggalkan doa.

Seterusnya akan dijelaskan beberapa amalan yang dilakukan dan juga disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Himpunan amalan dan petunjuk ini merealisasikan penerapan taqwa di bulan Ramadan yang mulia ini. Amalan-amalan itu adalah seperti berikut:
1. Berakhlak mulia. Di dalam sebuah hadith:

...أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ.

Maksudnya: … bahawa Ibnu Abbas r.a. berkata, ‘Nabi s.a.w. adalah orang yang paling baik dalam kebajikan. Dia menjadi paling baik di bulan Ramadan apabila Jibril datang berjumpa dengannya. Jibril a.s. sering berjumpa baginda setiap malam dalam bulan Ramadan sehingga akhir bulan agar Nabi s.a.w. membentangkan bacaan al-Quran kepadanya. Apabila Jibril a.s. berjumpa baginda, baginda akan menjadi lebih baik daripada angin yang lembut.’

• Penerapan taqwa: Hadith ini jelas menunjukkan akhlak mulia hendaklah ditingkat dalam bulan Ramadan dan diwujudkan sepanjang tahun. Akhlak yang mulia ialah akhlak yang berlandaskan al-Quran. Di dalam satu riwayat:

عَنْ سَعْدٍ بْنِ هِشَامٍ بْنِ عَامِرٍ قَالَ أَتَيْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِيْنَ أَخْبِرِيْنِيْ بِخُلُقِ رَسُوْلِ اللهِ  قالت (كان خُلُقُهُ الْقرآنَ أَمَا تَقْرَأُ القرآنَ قولَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ {وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيْمٍ} قلْتُ فإنِّيْ أُرِيْدُ أنْ أتَبَتَّلَ قَالت (لاَ تَفْعَلْ أَمَا تَقْرَأ {لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ} فَقَدْ تَزَوَّجَ رَسُوْلُ اللهِ  وَقَدْ وُلِدَ لَهُ.) رواه أحمد.

Maksudnya: Dari Sa‘d bin Hisham bin ‘Amir bahawa dia telah datang kepada ‘Aisyah lalu berkata, ‘Wahai Ummul Mukminin, beritahukanlah kepadaku tentang akhlak Rasulullah  ,’ Jawab ‘Aisyah, ‘Akhlak Baginda adalah Al-Quran. Tidakkah kamu membaca firman Allah ‘Azza wa Jalla {DAN SESUNGGUHNYA KAMU BERADA DI ATAS AKHLAK YANG AGUNG}.’ Kataku lagi, ‘Sesungguhnya aku ingin tekun beribadah (sahaja).’ Jawab beliau, ‘Jangan kamu buat, tidakkah kamu membaca firmanNya {SESUNGGUHNYA BAGI KAMU PADA DIRI RASULULLAH TERDAPAT IKUTAN YANG MULIA}, sesungguhnya Rasulullah  telah berkahwin dan mempunyai anak.’

Ketahuilah bahawa kedudukan akhlak mulia dalam Islam amat penting. Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ صَالِحَ / مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti.”

2. Bacaan al-Quran al-Karim. Bulan Ramadan adalah bulan di mana al-Quran diturunkan. Firman Allah Ta’ala (alBaarah 2:185):

Maksudnya: (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah.

Justeru, wajarlah diperbanyakkan bacaan al-Quran al-Karim atau setidak-tidaknya mendengar bacaan al-Quran al-Karim. Bacaan al-Quran merangkumi dua aspek:
i. Bacaan teks arabnya agar dapat diperolehi pahala bacaan seperti sabda Rasulullah s.a.w.:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ.

Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah dia akan dapat satu kebaikan. Satu kebaikan itu berganda menjadi sepuluh sepertinya. Aku tidak mengatakan bahawa alif lam mim itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.

ii. Bacaan terjemahannya juga wajar dikhatamkan agar diperolehi pahala menuntut ilmu agama Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Kefahaman inilah yang akan membuahkan kekhusyukan seperti dalam hadith berikut:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اقْرَأْ عَلَيَّ قَالَ قُلْتُ أَقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ إِنِّي أَشْتَهِي أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِي قَالَ فَقَرَأْتُ النِّسَاءَ حَتَّى إِذَا بَلَغْتُ فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلَاءِ شَهِيدًا قَالَ لِي كُفَّ أَوْ أَمْسِكْ فَرَأَيْتُ عَيْنَيْهِ تَذْرِفَانِ.

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya, ‘berkata Rasulullah s.a.w.,“Bacalah al-Quran untukku.” Aku berkata, ‘Saya baca untukmu sedangkan ianya diturunkan ke atasmu?’ Sabdanya, “Sesungguhnya saya ingin mendengarnya daripada orang lain.” Abdullah berkata, ‘Sayapun baca surah al-Nisa’ sehingga apabila sampai ayat {Maka bagaimanakah jika Kami bawakan daripada setiap umat itu seorang saksi, dan Kami bawakan engkau sebagai saksi ke atas mereka}, baginda berkata, ‘Berhenti.’ Aku melihat air mata di kedua-dua matanya.’

• Penerapan Taqwa 1: Sebelum ini telah dijelaskan bahawa akhlak mulia mestilah berteraskan al-Quran. Justeru, al-Quran perlulah sentiasa didampingi bagi mendapatkan petunjuknya. Setelah diperbanyakkan bacaan teks arab dan terjemahannya dalam bulan Ramadan, wajarlah diteruskan amalan ini di bulan-bulan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w.:

تَعَاهَدُوا الْقُرْآنَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ الْإِبِلِ فِي عُقُلِهَا.

Maksudnya: “Jagalah al-Quran. Demi tuhan yang jiwaku berada di tanganNya, al-Quran itu lebih mudah hilang daripada unta yang ditambat.”

• Penerapan Taqwa 2: Inilah juga masanya untuk ditinggalkan lagu-lagu yang diiringi muzik tidak kira samada lagu yang melalaikan mahupun lagu yang disifatkan orang ramai sebagai ‘islamik’. Alternatifnya ialah al-Quran. Jika seseorang itu sibuk dengan al-Quran, pastinya dia tidak mempunyai masa untuk musik. Di samping itu, perlulah diketahui bahawa penggunaan muzik adalah dilarang oleh Rasulullah s.a.w. seperti di dalam hadith berikut:

لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْحِرَ وَالْحَرِيرَ وَالْخَمْرَ وَالْمَعَازِفَ.

Maksudnya: “Akan wujud dalam umatku orang-orang yang menghalalkan zina, sutera, arak dan alat muzik.”

Akan tetapi, jika didendangkan lagu-lagu islamik tanpa muziknya, ia akan menjadi seperti syair-syair yang dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk perbagai tujuan seperti:

i. Mempertahankan Islam.
ii. Menghiburkan hati dalam pengembaraan.
iii. Hiburan di hari raya.
iv. Hiburan di hari perkahwinan.

3. Menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w.:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang puasa, dia akan dapat seperti pahalanya tanpa dikurangkan pahalanya sedikitpun.”

• Penerapan taqwa: Memberi makan adalah satu amalan murni di mana ianya menggambarkan kesucian hati dan kesanggupan untuk berkongsi. Di dalam bulan-bulan lain, amalan mulia ini hendaklah diteruskan semata-mata mengharapkan pahala daripada Allah Ta‘ala. Firman Allah Ta‘ala (al-Insan 76:8):

Maksudnya: Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.

4. Membuat Umrah. Sabda Rasulullah s.a.w.:

فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً

Maksudnya: “Sekiranya datang Ramadhan hendaklah kamu membuat umrah kerana sesungguhnya umrah dalam Ramadhan menyaingi haji.”

• Penerapan taqwa: Umrah merupakan satu amalan yang memerlukan pengorbanan wang dan tenaga. Galakan melakukan umrah dalam bulan Ramadan mendidik muslim akan bersedia untuk melakukan pengorbanan wang dan tenaganya demi untuk mendapatkan keredaan Allah Ta‘ala sepanjang tahun.

5. Bersabar di hadapan provokasi. Sabda Rasulullah s.a.w.:

قَالَ اللَّهُ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ.

Maksudnya: Allah berfirman, {Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa, ianya adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi ganjarannya}. Puasa adalah perisai. Jika tiba hari puasa salah seorang dari kamu, janganlah dia bercakap lucah atau berjimak dan mengangkat suaranya. Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut, ‘Saya berpuasa.’ Demi tuhan yang jiwa Muhammad di tanganNya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada kasturi. Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya.

• Penerapan taqwa: Puasa mendidik muslim agar menahan dirinya daripada pergaduhan. Dengan ini puasa mendidik sifat mulia iaitu sifat sabar dalam jiwa muslim. Setelah diterapkan sifat ini, hendaklah diteruskan walaupun Ramadan telah berakhir. Tidak dinafikan bahawa praktikal sifat ini adalah begitu sukar. Oleh itu, Allah menjanjikan pahala yang tidak terhad kepada orang yang sentiasa bersabar. Firman Allah Ta‘ala (al-Zumar 39:10):

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.

Sekiranya sifat sabar dapat diterapkan maka sempurnalah agama seseorang muslim itu. Ini kerana sabar itu merangkumi tiga aspek utama penghayatan agama iaitu:
i. Sabar dalam dalam mengamalkan ketaatan.
ii. Sabar dalam meninggalkan maksiat
iii. Cekal menghadapi musibah.

6. Bersahur dan berbuka pada waktunya:

لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ

Maksudnya: Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa.

• Penerapan taqwa 1: Perkataan sahur dalam bahasa Arab bererti makanan yang diambil di akhir malam sejurus sebelum waktu subuh. Amalan ‘bersahur’ di tengah malam sewajarnya dinamakan makan lewat malam dan bukannya sahur. Hadith di atas menunjukkan bagaimana pentingnya muslim melewatkan sahurnya sebagaimana ianya menuntut muslim agar mempercepatkan buka puasa. Ini mendidiknya untuk sentiasa memberi perhatian kepada masa. Umurnya yang merupakan masa hendaklah disusun menurut kehendak Allah Ta‘ala sesuai dengan petunjuk Rasulullah s.a.w., antara lain seperti amalan qailulah (tidur sejenak di waktu tengahari) yang membantu muslim untuk melaksanakan qiyamullail. Sabda Rasulullah s.a.w.:

قيلوا فإن الشياطين لا تقيل.

Maksudnya: “Tidurlah (atau rehatlah) sejenak di waktu tengahari kerana sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada waktu itu.”

• Penerapan taqwa 2: Menepati masa dalam bersahur dan berbuka mengundang kebaikan dan keberkatan. Justeru, hendaklah muslim sentiasa mencari kebaikan dan keberkatan yang diiktiraf oleh Allah Ta‘ala. Hendaklah dihindari perkara yang disangka baik dan berkat oleh manusia tanpa bersandarkan apa-apa dalil yang sahih. Allah Ta‘ala sahaja yang berhak menentukan wujudnya kebaikan dan keberkatan pada sesuatu tempat, waktu dan objek.

7. Mengaitkan kegembiraan dengan ketaatan terhadap Allah:

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ.

Maksudnya: Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya.

• Penerapan taqwa: Allah Ta‘ala mengkhabarkan bahawa muslim yang berpuasa wajar berasa gembira semasa berbuka puasa di dunia ini dan semasa berjumpa dengan Tuhannya di akhirat kelak. Ini menunjukkan betapa kegembiraan sepatutnya sentiasa dikaitkan dengan ketaatan dan nikmat sebagaimana kesedihan sewajarnya sentiasa dikaitkan dengan maksiat dan musibah.

8. Berdoa sepanjang berpuasa:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْصَائمِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ

Maksudnya: Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara.

• Penerapan taqwa: Antara lain hadith ini menunjukkan bahawa doa orang yang berpuasa adalah makbul berpula dari masuk subuh hingga terbenam matahari. Hadith ini mendidik jiwa agar merendah diri kepada Allah dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa. Apabila sifat merendah diri ini wujud dalam jiwa muslim dengan doa dalam bulan mulia ini, pastinya dia akan meneruskan amalan mulia ini pada bulan-bulan lain. Dengan ini dia telah merealisasikan intisari ibadah, seperti dalam hadith berikut:

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.

Maksudnya: Daripada al-Nu'man bin Basyir daripada Nabi s.a.w. sabdanya, “Doa itu ialah ibadah.” Kemudian baginda baca, {Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepadaKu pasti akan Ku perkenankan untukmu. Sesungguhnya mereka yang sombong daripada beribadat terhadapKu akan masuk neraka Jahannam secara hina}.

9. Berpuasa Ramadan secara berjemaah atau bermasyarakat. Rasulullah s.a.w. bersabda:

الصَّوْمُ يوم تَصُومُونَ وَالْفِطْرُ يوم تُفْطِرُونَ وَالْأَضْحَى يوم تُضَحُّونَ.

Maksudnya: “Puasa ialah hari kamu semua berpuasa, hari raya puasa ialah hari yang kamu semua berhari raya puasa dan hari raya al-Adha ialah hari yang kamu semua berhari raya al-Adha.”

• Penerapan taqwa 1: Hadith ini jelas menunjukkan agar umat Islam bersatu dalam pelaksanaan ibadah puasa. Perkara ini memupuk semangat kekitaan dan sama tinggi di kalangan masyarakat muslim. Tiada kasta dalam Islam. Orang yang mulia di sisi Allah Ta‘ala ialah orang yang bertaqwa tanpa melihat warna, bahasa, pangkat, bangsa mahupun harta. Firman Allah Ta ‘ala (al-Hujurat 49:13):

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

• Penerapan taqwa 2: Puasa adalah merupakan salah satu syiar Islam yang terhebat di mana ianya dilaksanakan secara bersatu, berkumpulan atau bermasyarakat. Perkara ini mendidik muslim agar sentiasa mendahulukan maslahat masyarakat melebihi maslahatnya. Ia juga mendidik muslim agar bekerjasama dalam usaha berdakwah kepada mentauhidkan Allah Ta‘ala dan menafikan unsur-unsur syirik. Sabda Rasulullah s.a.w.:

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ ...قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ.

Maksudnya: “Hendaklah kamu semua bersatu dan janganlah kamu berpecah. Sesungguhnya syaitan bersama dengan individu yang keseorangan. Syaitan akan mula jauh daripada dua orang yang bersatu. Sesiapa yang inginkan tempat yang termulia dalam syurga, hendaklah dia berpegang kepada kesatuan.”

Setelah mengetahui beberapa amalan yang dilakukan dan juga disarankan oleh Rasulullah s.a.w., tibalah masanya untuk mengetahui amalan yang dilarang dan ditegah pula. Ini penting kerana konsep utama ajaran Islam ialah penerapan kebaikan di samping penolakan keburukan. Amalan-amalan buruk dan jahat ini menafikan taqwa di bulan Ramadan. Ertinya, jika muslim menghindarinya, taqwa dapat diterapkan. Huraiannya adalah seperti berikut:

1. Hindari kejahatan secara umum. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ

Maksudnya: Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kejahatan, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.

• Penerapan Taqwa: Setelah syaitan dirantai, manusia hanya perlu berhadapan dengan jiwanya sahaja. Justeru, usahanya untuk mendidik jiwanya agar meninggalkan amalan yang tidak diredai oleh Allah Ta‘ala telah menjadi lebih mudah. Di sinilah masanya untuk dia bertindak dan bergegas mengubah dirinya. Latihan selama sebulan akan memudahkannya untuk meneruskan usaha murni ini dalam bulan-bulan berikutnya.

2. Hindari kata-kata keji dan perbuatan keji. Sabda Rasulullah s.a.w.:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan keji, Allah tidak mengendahkan amalannya meninggalkan makann dan minuman.”

Kata-kata keji antara lain merangkumi; mengumpat (ghibah), menjadi batu api (namimah), menuduh keturunan (al-Ta’n fi al-ansab) dan menipu.

Perbuatan keji pula antara lain merangkumi; Menjadi saksi palsu, membantu kejahatan, bersubahat, membazir dan merokok.

• Penerapan taqwa 1: Puasa hanya akan dikira berjaya sekiranya muslim menjauhi kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang haram. Tiada gunanya menahan diri daripada perkara yang halal jika perkara yang haram tidak dihindari. Dengan ini, apabila selesainya bulan Ramadan, muslim wajar dapat meneruskan usahanya menahan diri daripada perkara yang diharamkan.

• Penerapan taqwa 2: Hadith di atas juga jelas menunjukkan konsep prioriti dalam Islam. Muslim sepatutnya menekankan amalan yang hukumnya wajib lalu disusuli dengan amalan yang hukumnya sunat; bukannya memberi penekanan kepada amalan sunat dengan mengabaikan amalan wajib.

3. Hindari rafath (jimak). Sabda Rasulullah s.a.w.:

وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ.

Maksudnya: Jika tiba hari puasa salah seorang dari kamu, janganlah dia berjimak dan jangan juga dia mengangkat suaranya. Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut, ‘Saya berpuasa.’

• Penerapan taqwa 1: Hadith ini menunjukkan bagaimana puasa mengajar muslim agar mengawal nafsunya. Kesanggupan muslim menegah dirinya daripada mendekati (jimak) pasangannya melambangkan bagaimana dia telah mendahulukan kehendak dan perintah Allah Ta'ala terhadap kehendaknya sendiri. Dengan ini dia telah memurnikan ketaqwaannya dengan melaksanakan bahagian komponen Taqwa iaitu meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah Ta'ala.

• Penerapan taqwa 2: Hadith ini juga menunjukkan bagaimana keadaan orang yang berpuasa sepatutnya lebih mulia daripada orang yang tidak berpuasa. Tutur kata, nada dan intonasi percakapannya hendaklah dijaga agar tidak tercemar puasanya. Ini adalah salah satu lambang ketaqwaan dan keimaan berdasarkan hadith berikut:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ .

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amr r.a., daripada Nabi s.a.w. sabdanya, "Orang Islam ialah yang selamat umat Islam daripada ucapan dan perbuatannya. Manakala orang yang berhijrah ialah yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah."

Perhatian: Amalan-amalan salih di atas, samada suruhan mahupun larangan, jelas menunjukkan bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu IPT terunggul di dalam sejarah peradaban manusia. IPT di sini bukanlah Institut Pengajian Tinggi tetapi jauh lebih hebat lagi iaitu; Institut Penerapan Taqwa yang boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang mempunyai ‘sijil’ dua kalimah syahadah. Mereka yang ‘lulus’ dalam IPT ini akan dikurniakan ‘sarjana ketaqwaan’ yang merupakan ciri utama kesejahteraan peradaban manusia dari seawal zaman hingga ke penghujungnya. Salah satu tanda ‘lulus’ di IPT ini ialah segala latihan yang telah dilalui itu diamalkan dengan penuh semangat dan tenaga pada bulan-bulan yang mendatang. Ibarat seorang yang mendapat latihan intensif sebulan, lulus dengan cemerlang lalu memulakan kariernya dengan meneruskan segala kemahiran yang diperolehi. Dengan ini, jelaslah bagaimana puasa dalam bulan Ramadan menjanjikan ketaqwaan kepada muslim yang berpuasa itu!

3 ulasan:

  1. Berbondong2 oarng pergi ke "IPT" di bulan Ramadhan...Tapi lepas jer syawal, berkurang orang pergi ke "IPT" tue..huhu

    BalasPadam
  2. bz ngn memcm hal.. nnti sy update la.. terima kasih kerana sudi memberi komen :)

    BalasPadam