Support US!

Search This Blog

09 Disember 2008

Membela Kebenaran Adalah Tanggungjawab Perjuangan


Apabila seseorang berbicara tentang kebenaran, atau mempertahankan kebenaran maka dia hendaklah sedar bahawa dia lakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasulNya. Tidak kerana dia mengharapkan habuan daripada manusia, atau kemasyhuran, atau kemenangan.
Kebenaran adalah kebenaran, ia tiada kaitan dengan kehendak diri sendiri atau kehendak orang lain. Justeru, insan yang jujur akan membela dan memperjuangkan kebenaran dan prinsip yang benar sekalipun terpaksa bercanggahan dengan kehendak dirinya, ataupun kehendak orang lain. Sekalipun dia menanggung rugi, atau dia ditentang oleh dunia sekelilingnya. Bak kata kata Rasulullah s.a.w:

“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).


Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk dirinya atau puaknya, maka dengan lantangnya dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada dirinya dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya, atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya.
Golongan fanatik parti dan mazhab selalu melakukan perkara yang seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran itu dilacurkan untuk mendapatkan habuan atau keuntungan. Saya sendiri bertemu dengan ramai orang yang mempunyai kepentingan perniagaan yang meminta saya menggunakan nama dan pengaruh saya dalam bidang agama bagi melariskan bisnes mereka. Kata mereka ramai ustaz lain yang buat dan mereka mendapat faedah kewangan yang banyak.
Saya jawab kepada mereka, saya memang tidak berharta tetapi saya belum bersedia untung melelong agama. Nas-nas Allah dan rasulNya tidak patut diputarkan hanya untuk bergelar ‘hartawan’ di dunia yang sementara. Keadaan yang seperti ini juga menjadikan ramai mereka yang ikhlas menggeruni ‘politik kepartian’. Walaupun politik itu sebahagian daripada ajaran Islam, namun ‘politik kepartian’ mempunyai keadaan yang sangat berbeza.
Penilaian kepada kebenaran dan fakta dalam dunia politik kepartian banyak terikat kepada kehendak parti. Maka ramai di kalangan mereka yang bertukar-tukar cakap dan prinsipnya. Kesemuanya akan dijawab; “ini keputusan parti”.

Ertinya, menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasulNya, bukanlah kerja yang mudah. Allah menguji insan untuk insan membukti keikhlasan dirinya dalam membela ajaran tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya.
Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia yang fana ini. Entah berapa ramai para nabi dan pejuang yang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran.

Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semesti setiap pejuang itu berpeluang untuk menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga demikian. Betapa ramai para pembela dan pejuang kebenaran yang disiksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab.
Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi, namun masanya tidak ketahui. Para sahabah yang gugur syahid dengan penuh trajis di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak yang menyiksa mereka.
Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi s.a.w dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Nabi s.a.w pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.

Ramai pejuang terkorban ketika perit menggalas amanah perjuangan. Ramai yang pergi menemui Allah sebelum mata sempat melihat pejuangan kebenaran menjatuhkan pejuangan kebatilan. Namun para pejuang yang ikhlas itu redha kerana mereka tahu itulah harga kebenaran.

Mereka tidak berjuang untuk menang dalam bahasa yang biasa. Mereka berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki. Kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi kepentingan menegakkan kebenaran.
Jika kemenangan dunia tidak disaksikan di hadapan mata, bukanlah bererti perjuangan kebenaran mesti ditinggalkan. Bayaran bagi pejuangan yang tulus itu adalah keredhaan Allah sekalipun tewas dan ditindas. Allah membeli perjuangan yang benar itu dengan syurga, bukan harta dunia.
Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (Surah al-Taubah, ayat 111).

Sesiapa yang ingin berjuang menegakkan kebenaran, menyebarkan Islam yang tulen tanpa mengenal batasan kepentingan diri, puak, parti dan manusia keseluruhan perlulah nekad menggalas bebenan tersebut dengan penuh jujur. Ia adalah amanah. Membela dan menyokong kebenaran adalah tanggungjawab yang dipersoalkan Allah pada hari Kiamat kelak.

Namun ramai orang yang tersasar kerana merasakan tujuan mereka menyokong dan menyebarkan kebenaran adalah untuk mengecapi nikmat keuntungan dunia hasil dari kemenangan atau habuan yang bakal diperolehi. Maka bukan sedikit mereka yang bergelar pejuang Islam atau organisasi Islam yang telah mengubah halatuju dan prinsip apabila dirasakan buah yang hendak dipetik belum mahu masak.

Mengubah prinsip kebenaran kerana mengharapkan sokongan pihak lain amatlah buruk. Allah mengingatkan Nabi Muhammad s.a.w ketika menghadapi cabaran yang berbagai daripada para pembesar Quraish dengan firmanNya:

(maksudnya) “Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentu mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sedikit cenderung kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seorang penolong pun terhadap hukuman kami”. (Surah al-Isra, ayat 73-75).

Atas hubungan jiwa dengan teguh dengan wahyu, seorang pejuang kebenaran yang membawa arahan Islam akan terus memapah risalah kebenaran itu di kala senang atau susah, di saat di julang atau dibuang, samada dikeji atau dipuji, samada dipuja atau dihina, samada ketika di atas atau ketika ditindas. Kalah atau menang adat perjuangan, namun kebenaran adalah kebenaran.
Allah memuji mereka yang ikhlas seperti ini dan tetap pendirian. Firman Allah: (maksudnya)
“Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun” (Surah al-Ahzab ayat 23).
Maka, Islam adalah agama perjuangan. Kita menjadi lemah pada hari ini disebabkan hilangnya semangat dan nilai perjuangan dalam beragama. Seseorang muslim itu kelihatan hilang atau tiada langsung sifat kecemburuan atau semangat dalam mempertahan dan membela kebenaran.
Sesetengah pihak itu seakan menjadikan Islam sekadar untuk dikatakan dia mempunyai agama, atau membolehkan dia berinteraksi dengan masyarakat. Tidak pernah diambil pusing tentang apakah dasar dan prinsip Islam. Apatah lagi untuk membela dan mempertahankannya.

Ada pula kelompok yang dipengaruhi oleh pemikiran ‘kesufian’ yang melepasi batasan yang patut sehingga Islam mereka dimandulkan. Apa tidaknya, mereka menganggap cukuplah Islam itu hanya berzikir atau beribadat sendirian. Mereka tidak memperdulikan apa yang berlaku kepada umat Islam dan nasib kepada kebenaran yang ditindas. Bahkan banyak ajaran kerohanian kesufian itu sendiri menyeleweng dari hakikat kebenaran.
Mereka ini hidup dalam kelompok zikir dan ‘cerita-cerita sakti’ mereka mengenai wali itu dan ini. Dihiasi agama mereka dengan hadis-hadis palsu yang memperuntukkan syurga dengan begitu murah. Amalan yang kecil diberikan pahala terlalu besar sehingga menafikan sifat Islam.
Ini seperti hadis-hadis palsu yang menyamakan amalan yang kecil dengan pahala para nabi, atau para syuhada. Inilah yang termuat dalam banyak buku-buku fadilat yang tidak berpegang kepada disiplin ilmu hadis.
Malangnya, buku-buku fadilat seperti ini menjadi kegemaran orang awam. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”. ( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir)
Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah pula ketika memperkatakan mengenai sebab-sebab kemunculan hadis palsu:

“ (sebab yang ke enam) bertujuan untuk menggalak orang ramai membuat kebaikan. Antara yang melakukan perbuatan ini ialah golongan jahil ahli zuhud dan tasawwuf. Mereka membenarkan untuk diri mereka pendustaan ke atas Nabi di dalam tarhib (ancaman dosa) dan targhib (galakan ibadah). Mereka menyangka kesesatan itu suatu kebaikan, mereka adalah manusia yang paling bahaya” ( Abu Syahbah, Al-Wasit fi `Ulum Mustalah al-Hadith, m.s.332, Kaherah: Dar al-Fikr al-`Arabi)
Sehingga tenggelam mereka yang terpengaruh dengan unsur kerohanian seperti ini, lantas membelakang nas-nas Islam yang meletakkan tanggungjawab yang besar ke atas setiap muslim untuk membela agama Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (dalam perjuangan)? (surah Ali ‘Imran ayat 142).
FirmanNya juga:

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kesusahan dan kemudaratan, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir. (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Barangkali ramai di kalangan umat Islam yang dimabukkan dengan anggapan bahawa beragama itu memadailah dengan mengamalkan beberapa amalan dan kemudian biarlah dunia ini apa pun akan berlaku. Tiada pembelaan untuk Islam, tiada pembelaan untuk kebenaran.
Lebih buruk lagi, sesetengah aliran kerohanian pula menjadi menjelma bagaikan ajaran kerahiban. Agamawan itu bagai pendeta yang bertapa tanpa mengambil berat tentang masyarakatnya. Inilah yang menyebabkan Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik ajaran tasawwuf yang menyimpang dari sifat asal Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Kata al-Qaradawi:

“Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawwuf telah terpengaruh –pada tahap tertentu- unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam. Dalam tempoh masa sekian lama, telah masuk ke dalam tasawwuf pemikiran yang pelik daripada sumber-sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad , atau wahdah al-wujud. Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid , zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama. Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawwuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian”.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Pemikiran yang seperti ini telah menghalang sifat perjuangan dan membela kebenaran yang hakiki.

Sumber dari
Disiarkan pada Oct 19, 2008 dalam kategori Akidah |
http://drmaza.com/home/?p=464/


Cetak Halaman

08 Disember 2008

Yang Haram Tetap Haram

'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin

Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.

Hanya dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!
Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.

Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.

"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"
Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.

Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi

لَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.


Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi. . " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS?
Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian. Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepada dirinya.

Mungkin kita akan berkata dalam hati :-
" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.
Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.

Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.

Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)
Sekian


Apa pendapat anda? fikir-fikirkanlah.

sumber dari

http://gigitankerengga.blogspot.com/


Cetak Halaman

Zalim-menzalimi tanpa disedari...


"Allah tidak menyukai percakapan (pembicaraan) buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." surah An-Nisa', 148

Diambil daripada buku Seni bacakap-cakap dan berbual-bual

UCAPAN YANG DITEGAH BAGI ORANG ISLAM

1.Penjagaan Lidah

Setiap mukallaf (setiap orang Islam yang baligh dan berakal) wajib menjaga lidahnya dari semua perkataan yang tidak elok/tidak baik/tidak berfaedah.

Jika sama baiknya antara bercakap dan tidak bercakap, maka disunatkan memilih sikap berdiam, sebab percakapan yang asalnya mubah (harus atau dibolehkan) kadangkala terbabas menjadi haram dan makruh. Bahkan arah percakapan seperti itu lebih sering terjadi, padahal keselamatan lisan harus diutamakan.
(Sumber Kitab Al-Azkar, karya Imam Nawawi)

2. Abu Musa al-Asy'ari berkata,"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: 'Wahai Rasulullah, orang Islam manakah yang paling utama?' Baginda menjawab:'Orang yang tidak pernah menganggu orang Islam lainnya, sama ada dengan lisan ataupun dengan tangan (tindakannya)."
(Riwayat Bukhari)

3. Rasullullah saw bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam."
(Riwayat Bukhari)

4. Rasullulah saw bersabda: "Sesiapa yang menjamin untukku lidahnya (ucapannya) dan kemaluannya (tidak berzina) maka aku akan menjaminnya masuk syurga."
(Riwayat Bukhari)

5. Rasululah saw bersabda:"Yang termasuk tanda kebagusan Islam seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermakna."
(Riwayat Tirmizi)


6. Dilarang banyak berbicara, kerana Rasulullah saw bersabda: "Janganlah kamu banyak berbicara tanpa disertai zikir kepada Allah kerana kebanyakan berbicara tanpa disertai zikir kepada Allah itu dapat mengeraskan hati. Dan sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah ialah orang yang keras hatinya."
(Riwayat Tirmizi)

7. Dilarang mengeraskan pembicaraan yang buruk atau kotor. Allah berfirman di dalam surah An-Nisa', 148 yang bermaksud

"Allah tidak menyukai percakapan (pembicaraan) buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." surah An-Nisa', 148

Maksudnya: bahawa Allah tidak menyukai pembicaraan dan ucapan yang buruk, kotor dan menyakitkan hati, kecuali bagi orang yang dianiaya atau dizalimi; dia boleh dengan lantang mendoakan buruk atau mengutuk orang yang menzaliminya, dan boleh menunjukkan segi buruk perbuatan orang yang berbuat zalim.

Rasulullah saw bersabda:" Seburuk buruk tempat manusia di sisi Allah pada hati kiamat ialah manusia yang ditinggalkan seseorang disebabkan takut akan perlakuan jahatnya."(Riwayat Tirmizi)

8. Rasulullah bersabda: " bukanlah manusia dimasukkan ke api neraka itu disebabkan oleh wajah atau hidung mereka, melainkan kerana lidah (ucapan) mereka."
(Riwayat Tirmizi)

9. Allah mengharamkan perbuatan ghibah iaitu menyebut nyebut keburukan dan aib kawan. Allah swt telah berfirman, yangbermaksud:

"Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain."
(surah Al Hujurat:12)

Rasulullah saw bersabda: " Sesungguhnya yang termasuk riba paling jahat ialah menghilangkan kehormatan seorang muslim tanpa hak."
(Riwayat Abu Dawud)

10. Rasulullah saw bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba. "
(Riwayat Bukhari)

Yang dimaksudkan namimah (mengadu domba) ialah menyampaikan pembicaraan seseorang kepada orang lain dengan tujuan merosak hubungan kedua duanya.

Beberapa usaha agar tidak terjerumus melakukan perbuatan namimah, antara lain:-

a. tidak membenarkan ucapan pengadu domba kerana dia tergolong dalam golongan orang yang fasik yang harus ditolak ucapannya

b. menasihatinya dan mencela perbuatannya

c. membencinya kerana Allah jika dia tidak mahu menerima nasihat atau masih lagi mengulangi perbuatannya

d. tidak langsung berprasangka buruk kepada seseorang sebab berita yang disebarkan pengadu domba

e. tidak perlu menyelidiki kebenaran apa yang didakwakan oleh pengadu domba kepadanya dan tidak perlu menetapkan kebenarannya

f. tidak menceritakan semula kepada orang lain apa yang disampaikan pengadu domba agar tidak terjadi polemik yang tidak diinginkan

11. Dilarang mencela nasab keturunan. Rasulullah saw bersabda: "Dua perbuatan pada seseorang yang hanya patut dilakukan orang kafir, adalah mencela nasab dan meratapi mayat"
(Riwayat Muslim)

12. Rasulullah saw menekankan pentingnya perkataan yang baik. Baginda bersabda: "takutlah pada api neraka, walaupun dengan cara mensedekahkan sebiji kurma. Jika tidak mendapatnya, maka berbicaralah dengan kata kata yang baik."
(Riwayat Bukhari)

13. Orang Islam memiliki kehormatan dan perlindungan yang agung pada darahnya, harta benda dan kehormatannya. Rasulullah saw bersabda di dalam khutbah hari nahar di Mina sewaktu melakukan haji Wada': "Sesungguhnya darah kamu, harta benda dan kehormatan kamu adalah suci, haram dilanggar seperti sucinya hari ini, bulan ini, dan negerimu ini."
(Riwayat Bukhari)

14. Di antara akhlak yang baik ialah mendengarkan perbicaraan kawannya sampai habis selesai berbicara dan tidak memotong pembicaraannya. Jika tidak, hal itu akan mendatangkan permusuhan dan kebencian, disebabkan kurangnya perhatian kepada orang lain. Dan pada tahap selanjutnya akan muncul pertengkaran, selain itu pendengar tidak mendapat keuntungan sedikit pun dari pembicaraan kawannya itu, yang bererti dia telah mensia siakan waktunya.

15. Dilarang untuk sering bertengkar dan banyak musuhnya. Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya orang yang dibenci Allah ialah yang sering bertengkar dan banyak musuhnya."
(Riwayat Bukhari)

16. Haram bersaksi palsu. Kerana begitu besarnya keharamannya itu sehingga Allah mempersandingkannya dengan syirik. Alah berfirman melalui surah al Hajj:30 yang bermaksud "...maka jauhilah olehmu berhala berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan perkataan dusta."
Allah sangat melarang menyembunyikan persaksian, seperti ditegaskan dalam firmanNya:

"...dan janganlah kamu para saksi menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

20. Dilarang berbangga diri. Allah swt telah berfirman:
"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang orang yang sombong lagi membanggakan diri"
(surah Luqman:18)

Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya Allah memerintahkan aku bersikap rendah hati (tawadhuk) sehingga seseorang tidak bersikap sombong kepada yang lain, dan tidak membanggakan diri di hadapan yang lain."
(Riwayat Muslim)

21. Tidak boleh membenci orang Islam, kerana Rasuluallh saw bersabda:"Janganlah kamu menampakkan kebencian kepada saudaramu sehingga Allah akan mengasihinya dan menimpakan bencana kepada kamu."
(Riwayat Tirmizi)

22. Dilarang memperolok olokkan orang Islam. Allah berfirman di dalam surah Al Hujurat:11 ertinya: "Wahai orang orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok olokkan kaum yang lain(kerana) boleh jadi mereka (yang diolok olokkan) lebih baik dari mereka (yang megolok olokkan) dan jangan pula wanita wanita (mengolok olokkan ) wanita wanta yang lain (kerana) boleh jadi wanita (yang mengolok olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman; dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka ituah orang orang yang zalim."

23. Allah swt melarang memberikan sesuatu disertai cercaan dan seumpamanya, sebagaimana yang disebut dalam firman Allah: "Wahai orang orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)."
(Surah al Baqarah:264)

24. Dilarang keras mendedahkan rahsia hubungan suami isteri kepada pihak yang lain. Rasulullah bersabda: " Sesungguhnya orang yang mendapat tempat paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat kelak ialah orang yang melakukan hubungan suami isteri kemudian menyebarkan rahsia hubungan itu kepada orang lain."
(Riwayat Muslim)

25. Dilarang membentak bentak anak yatim dan kaum fakir miskin. Allah swt telah berfirman: "Adapun terhadap anak yatim maka janganlah kamu berlaku sewenang wenangnya. Dan terhadap orang yang meminta minta maka janganlah kamu mengherdiknya."
(Surah Ad Dhuha:9-10)

26. Dilarang bersumpah dengan selain memakai nama Allah, seperti bersumpah dengan kata kata, "Demi Kaabah", 'demi amanat", "demi kedua ibubapa", "demi kemuliaan", demi kehidupan", "demi Rasulullah", dan seumpamanya. Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang bersumpah selain nama Allah, maka dia benar benar menjadi kafir dan musyrik"
(Riwayat Tirmizi)

Baginda bersabda lagi: " Sesiapa yang bersumpah, maka bersumpahlah dengan nama Allah, atau (jika tidak boleh), diamlah. "
(Riwayat Bukhari)

Demikian pula seringnya menggunakan sumpah dalam kegiatan jual beli hendaklah diusahakan untuk dihindari walaupun yang diucapkan itu benar, kerana Rasulullah saw bersabda:" Jauhilah olehmu sering bersumpah sewaktu berjual beli, kerana mesikipun barang itu terjual akan tetapi hilang nilai keberkatannya."

27. Dosa yang paling buruk dan aib yang paling kotor ialah perbuatan dusta, yang jelas jelas dharamkan di dalam Al Quran dan Hadis, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt: "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya."
(Surah al Isra':36)

Rasulullah saw bersabda: 'Tanda tanda orang munafik ada tiga: Jika berbicara dia bohong, jika berjanji dia mengingkari, dan jika diberi amanat dia mengkhianati."
(Riwayat Bukhari)

Perkataan yang paling dusta ialah mendustai Allah dan RasulNya. Allah swt berfirman:

"Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang orang yang menyombongkan diri?”

Dari sikap dusta itu orang akan mudah menghalalkan atau mengharamkan sesuatu tanpa didasari pengetahuan agama. Kerananya Allah swt berfirman:


“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’ untuk mengada ngadakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang orang yang yang mengada ngadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.”

(Surah an Nahl:116)

Rasulullah saw bersabda:
“ Janganlah kamu berdusta dengan mengatas namakan aku. Sesiapa yang dengan sengaja berdusta atas nama diriku, maka berpuas puaslah diri bertempat di neraka.”

(Riwayat Bukhari)

Oleh kerana itu wajib menyimpan apa sahaja yang diceritakan orang kepadanya dan tidak menceritakan kembali apa saja sahaja yang didengarinya, kalau hal itu tidak dapat dipertanggungjawabkan kebenarannya. Rasulullah saw bersabda:

“cukuplah seseorang dianggap pendusta jika dia menceritakan kembali (kepada orang lain) setiap yang didengarnya”

(Riwayat Muslim)

Wallahua'lam



Oleh itu marilah kita ambil iktibar dari nasihat2 seperti apa yang diperkatakan oleh Luqman Hakim kepada anaknya

Orang-orang yg sentiasa menyediakan dirinya utk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yg insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

Wassalam....

Al-’Asr
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
[1]Demi Masa!
[2]Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
[3]Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."

Sumber dari

http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=18625/


Cetak Halaman