Support US!

Search This Blog

27 Jun 2008

Kesederhanaan dalam amal salih

Satu lagi konsep Islam dalam amal salih ialah kesederhanaan. Konsep yang dikenali sebagai al-Wasatiyyah ini membawa maksud pertengahan dalam semua perkara. Antara cara termudah untuk mengenalpasti kesahihan sesuatu amalan ialah dengan melihat kedudukannya. Sekiranya amalan itu berat sebelah samada kepada kekerasan atau kelembutan, dapatlah kita pastikan bahawa amalan itu tidak menepati cara al-Sunnah.

Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ

Maksudnya: Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seorangpun yang keterlaluan dalam amalan agama kecuali dia akan dikalahkan oleh agama. Jadi hendaklah kamu berusaha menepati kebenaran dan berusaha menepati kesempurnaan serta bergembiralah (dengan janji-janji baik Allah). Hendaklah kamu berusaha pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam. (al-Bukhari No. 38)

Kesederhanaan dan kemudahan agama akan bertukar menjadi keterlampauan atau kerumitan sekiranya amalan dilakukan tanpa mendapat sinaran al-Sunnah.


Kesinambungan amal salih

Satu perkara penting yang ditekan oleh Rasulullah S.A.W ialah konsep kesinambungan dalam amal salih. Konsep ini terserlah dalam beberapa hadith Baginda. Amalan mestilah berterusan walaupun sedikit kerana inilah sebaik-baik amalan di sisi Allah. Sabda Rasulullah S.A.W.:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْأَعْمَالِ أَحَبُّ إِلَى اللهِ قَالَ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ وَقَالَ اكْلَفُوا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ


Maksudnya: Daripada Aisyah r.a bahawa Nabi S.A.W. telah ditanya, ‘Amalan bagaimanakah yang lebih baik?’ Jawab Baginda, “(Sebaik-baik amalan di sisi Allah Ta'ala ialah) yang berterusan walaupun sedikit.” Baginda bersabda lagi, “Buatlah amalan yang kamu mampu.” (al-Bukhari No. 5984)

Melakukan amalan secara berterusan dengan kadar yang sedikit lebih mudah untuk manusia daripada melakukan amalan dengan banyak sekaligus. Agama Islam amat menitik beratkan sifat atau naluri manusia. Amalan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T pastinya dapat dilakukan oleh mereka jika mereka dapat membahagi-bahagikan masa dengan baik. Orang yang menekan satu aspek kehidupan pastinya akan mengabaikan aspek yang lain. Inilah yang ditekankan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam hadith berikut bahawa disamping kesinambungan, seseorang mukmin mesti adil di dalam membahagi-bahagikan hak-hak al-Khaliq dan makhluk:

عَنْ أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ آخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ سَلْمَانَ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً فَقَالَ لَهَا مَا شَأْنُكِ قَالَتْ أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدُّنْيَا فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا فَقَالَ كُلْ فَإِنِّي صَائِمٌ قَالَ مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ فَأَكَلَ فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ فَقَالَ نَمْ فَنَامَ ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ فَقَالَ نَمْ فَلَمَّا كَانَ آخِرُ اللَّيْلِ قَالَ سَلْمَانُ قُمْ الْآنَ قَالَ فَصَلَّيَا فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَ سَلْمَانُ


Maksudnya: Daripada Abu Juhaifah katanya, ‘Nabi S.A.W telah mempersaudarakan antara Salman dengan Abu al-Darda’ lalu Salman menziarahi Abu al-Darda’ dan dia dapati Ummu al-Darda’ tidak terurus. Salman bertanya Ummu al-Darda’ , ‘Kenapa begini?’ Jawabnya, ‘Saudaramu Abu al-Darda’ tidak berhajat kepada dunia.’ Kemudian Abu al-Darda’ pulang dan membuat makanan untuknya lalu Salman berkata, ‘Makanlah’. Jawabnya, ‘Saya puasa’. Kata Salman, ‘Aku tidak akan makan kalau kamu tidak makan’. Lalu dia pun makan. Apabila sampai waktu malam, Abu al-Darda’ bangun untuk solat. Salman berkata, ‘Tidur’. Lalu dia pun tidur. Tak lama kemudian dia bangun lagi dan Salman berkata, ‘Tidur’. Apabila sampai akhir malam Salman berkata, ‘Sekarang bangun’. Lalu mereka berdua bangun dan solat. Kemudian Salman berkata, ‘Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atas kamu, diri kamu mempunyai hak ke atas kamu, keluarga kamu mempunyai hak ke atas kamu, maka hendaklah kamu memberi setiap empunya hak itu haknya. Kemudian Abu al-Darda’ pergi bertanya Nabi  tentang perkara ini lalu Nabi bersabda, “Benar kata Salman”. (al-Bukhari No. 5674)


Memilih amalan yang lebih berkualiti walaupun sedikit dari sudut kuantiti

Satu perkara penting yang terdapat dalam manhaj Rasulullah S.A.W ialah menjelaskan amalan-amalan yang lebih berkualiti walaupun pada zahirnya lebih mudah dan sedikit dalam kuantiti. Dengan mempunyai kefahaman terhadap perkara ini seseorang yang tidak mempunyai masa untuk memperbanyakkan amalannya masih dapat memintas orang yang banyak amalannya. Di dalam sebuah hadith:

عَنْ جُوَيْرِيَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ مِنْ عِنْدِهَا بُكْرَةً حِينَ صَلَّى الصُّبْحَ وَهِيَ فِي مَسْجِدِهَا ثُمَّ رَجَعَ بَعْدَ أَنْ أَضْحَى وَهِيَ جَالِسَةٌ فَقَالَ مَا زِلْتِ عَلَى الْحَالِ الَّتِي فَارَقْتُكِ عَلَيْهَا قَالَتْ نَعَمْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَدْ قُلْتُ بَعْدَكِ أَرْبَعَ كَلِمَاتٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَوْ وُزِنَتْ بِمَا قُلْتِ مُنْذُ الْيَوْمِ لَوَزَنَتْهُنَّ سُبْحَانَ اللهُ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

Maksudnya: Daripada Juwairiyyah bahawa Nabi S.A.W telah keluar dari sisinya suatu pagi setelah solat Subuh semasa dia berada di tempat solatnya. Kemudian Baginda pulang pada waktu Dhuha dan dia masih di tempatnya. Baginda pun bersabda, “Kamu masih di sini sejak tadi?” Jawab Juwairiyyah, ‘Ya.’ Sabda Nabi S.A.W , “Aku telah menyebut empat sebutan sebanyak tiga kali, sekiranya sebutan ini ditimbang dengan sebutan kamu pagi ini pasti sebutanku lebih berat; Maha suci Allah dan segala puji bagiNya mengikut bilangan makhlukNya, mengikut keredhaan diriNya, mengikut berat singgahsanaNya dan mengikut tinta kata-kataNya.” (Muslim No. 4905)

Di dalam sebuah hadith:


عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزَاةٍ فَقَالَ إِنَّ أَقْوَامًا بِالْمَدِينَةِ خَلْفَنَا مَا سَلَكْنَا شِعْبًا وَلَا وَادِيًا إِلَّا وَهُمْ مَعَنَا فِيهِ حَبَسَهُمْ الْعُذْرُ


Maksudnya: Daripada Anas r.a bahawa Nabi S.A.W. di dalam satu peperangan telah berkata, “Sesungguhnya terdapat beberapa orang di Madinah yang tidak turut serta akan tetapi setiap jalan dan lembah yang kita lalui mereka bersama kita. Mereka dihalang keluar oleh keuzuran. (al-Bukhari No. 2627)

Menekankan amalan yang dapat dilakukan secara mahir

Di antara petunjuk-petunjuk Nabi S.A.W di dalam melakukan amal salih ialah apa yang kita sebutkan sebagai pengkhususan. Kita mesti mengetahui perkara-perkara yang fardhu ain dan beramal dengannya secara peribadi. Perkara-perkara yang fardhu kifayah atau sunat pula, ini bergantung kepada kemampuan masing-masing. Orang yang berilmu wajar mengajar, orang yang berharta wajar membelanjakan hartanya di jalan Allah, orang yang berkemahiran dalam ilmu peperangan wajar menjadi ketua di medan peperangan dan begitulah seterusnya. Pendek kata setiap individu muslim mempunyai tanggungjawab dan kepimpinannya yang sesuai dengan kedudukannya.

Sabda Rasulullah S.A.W:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ فَالْإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَهِيَ مَسْئُولَةٌ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ

Maksudnya: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab. Pemerintah adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab. Seorang hamba adalah pemimpin harta tuannya dan dia bertanggungjawab. Ketahuilah bahawa kamu semua pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab. (al-Bukhari No. 4789)



Memilih yang termudah antara dua amalan selagimana bukan dosa

Sekiranya kita diberi pilihan untuk memilih antara dua amalan, perbuatan Rasulullah S.A.W menunjukkan bahawa kita sepatutnya memilih yang lebih mudah sekiranya kedua-duanya baik. Akan tetapi sekiranya yang mudah itu maksiat atau haram, sudah tentu kita mesti menolaknya dan melaksanakan yang susah tetapi taat atau halal itu. Di dalam sebuah hadith:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ قَطُّ إِلَّا أَخَذَ أَيْسَرَهُمَا مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا فَإِنْ كَانَ إِثْمًا كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ وَمَا انْتَقَمَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِنَفْسِهِ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا أَنْ تُنْتَهَكَ حُرْمَةُ اللهِ فَيَنْتَقِمَ بِهَا لِلَّهِ

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. katanya, ‘Rasulullah S.A.W tidak pernah diberi pilihan antara dua perkara kecuali Baginda akan memilih yang termudah selagimana tidak merupakan dosa. Sekiranya dosa, Bagindalah orang yang paling jauh daripadanya. Rasulullah tidak pernah membalas dendam untuk dirinya. Akan tetapi jika kehormatan Allah diabaikan Baginda akan membalas dendam untukNya. (al-Bukhari No. 5661)



Manhaj al-Sunnah dalam melaksanakan amal salih

Rasulullah S.A.W telah memberikan beberapa garis panduan kepada umatnya di dalam melaksanakan amal salih.

Mulakan dengan yang terpenting kemudian yang penting dan seterusnya.

Petunjuk al-Sunnah jelas menekankan konsep keutamaan dalam melakukan amal salih. Amal salih mestilah dimulakan dengan perkara yang Fardhu atau Wajib. Kemudian barulah disusuli dengan amalan-amalan sunat.

Sabda Rasulullah S.A.W:


إِنَّ اللهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah bersabda, “Sesiapa yang memusuhi waliku maka Aku mengisytiharkan peperangan terhadapnya. Apabila hambaKu mendekatkan diri kepadaKu, Aku lebih suka dia memulakan dengan perkara yang Aku telah fardhukan ke atasnya. Selepas itu, hambaKu akan mendekatkan dirinya kepadaKu dengan perkara sunat sehinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya, tangannya dan kakinya. Sekiranya dia meminta dariKu, Aku akan perkenankan. Sekiranya dia berlindung denganKu, Aku akan melindunginya. Aku tidak terasa teragak-agak membuat sesuatu seperti mencabut nyawa orang mukmin; dia takutkan kematian dan Aku tidak suka menyakitinya. (al-Bukhari No. 6021)


Al-Sunnah di dalam Amal Salih

Kedudukan amal salih

Seperti yang disentuh pada perbincangan lepas, amal salih mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam Islam. Iman di sisi Ahli al-Sunnah wal-Jamaah merangkumi amal salih. Ada di antara amal salih yang menjadi rukun Islam dan ada pula yang menentukan peringkat-peringkat mukmin di dalam syurga nanti.