Support US!

Search This Blog

14 Jun 2008

Memulakan Dengan Yang Terpenting Kemudian Yang Penting Dan Seterusnya

Satu perkara yang perlu diberikan penekanan di sini ialah memilih bidang ilmu untuk pengajian atau memilih kitab yang dapat dijadikan sumber rujukan. Cara yang terbaik ialah dengan memulakan projek pengajian dengan ilmu yang terpenting iaitu tentang rukun Iman dan Islam. Kemudian barulah disusuli dengan ilmu-ilmu lain yang penting tetapi tidak seperti ilmu-ilmu tadi.

Begitu juga dalam pembacaan, adalah penting dimulakan dengan kitab-kitab yang memberi penerangan terhadap dasar-dasar asasi Islam sebelum mengembangkan pembacaan kepada kitab-kitab yang mengutarakan pemikiran-pemikiran atau yang merupakan tambahan sahaja. Hadith Jibril wajarlah dijadikan pedoman di dalam perkara ini. Di dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. hanya menjelaskan perkara rukun yang paling asasi walaupun ajaran Islam masih banyak lagi. Hadith tersebut dibawa oleh Umar dengan berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya: Semasa kami bersama Rasulullah s.a.w. pada satu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang amat putih bajunya, amat hitam rambutnya, tidak kelihatan sebarang tanda pengembaraan padanya, dan tidak pula dikenali oleh seorang pun daripada kami. Dia pun maju sehingga duduk di depan Nabi s.a.w. lalu merapatkan dua lututnya dengan lutut Nabi dan meletakkan dua tangannya di atas dua pehanya seraya berkata, “Wahai Muhammad, beritahu kepadaku tentang Islam.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Islam ialah kamu naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad ialah pesuruh Allah, kamu dirikan solat, kamu tunaikan zakat, kamu berpuasa di bulan Ramadhan dan kamu menunaikan haji jika kamu berkemampuan.” Dia berkata, “Benar kata kamu”, Kata Umar: Kami berasa pelik bagaimana dia bertanya kemudian membenarkan. Dia bertanya lagi, “Beritahu kepadaku tentang Iman”. Jawab Baginda, “Kamu beriman dengan Allah, para malaikatNya, para rasulNya, Hari Akhirat dan kamu beriman dengan al-Qadar yang baik dan yang buruk.” Dia berkata, “Benar kata kamu”. Dia bertanya lagi, “Beritahu kepadaku tentang Ihsan”. Jawab Baginda, “Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya. Jika kamu tidak dapat berbuat demikian maka seolah-olah Dia melihatmu”.…(Muslim No. 9)

Menadah Ilmu Dari Para Ilmuan

Ilmu yang terjamin ialah ilmu yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w. Cara untuk mendapatkan ilmu itu ialah dengan mengambilnya daripada pewaris-pewaris Nabi s.a.w, iaitu para ulama'. Langkah yang terbaik ialah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu yang dikepalai oleh ilmuan yang berkemahiran. Langkah kedua ialah dengan membuka lembaran-lembaran karangan mereka. Kedua-dua langkah ini amat penting. Kadang-kadang mungkin tiada kesempatan untuk mengorak langkah pertama tetapi agak mudah untuk terus maju ke langkah kedua. Dalam keadaan ini sekiranya terdapat tulisan-tulisan yang agak rumit, wajarlah diamalkan kembali langkah pertama, setidak-tidaknya dengan mendapat penjelasan daripada mereka. Sabda Rasulullah s.a.w :


إِنَّ اللهَ لَا يَنْتَزِعُ الْعِلْمَ مِنْ النَّاسِ انْتِزَاعًا وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعُلَمَاءَ فَيَرْفَعُ الْعِلْمَ مَعَهُمْ وَيُبْقِي فِي النَّاسِ رُءُوسًا جُهَّالًا يُفْتُونَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَيَضِلُّونَ وَيُضِلُّونَ


Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu daripada manusia secara terus, akan tetapi Allah mewafatkan para ulama' lalu diangkatnya ilmu bersama mereka. Allah akan meninggalkan di kalangan manusia pemimpin-pemimpin yang jahil di mana mereka akan memberi fatwa tanpa ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan. (Muslim No. 3829)

Manhaj al-Sunnah dalam menimba ilmu

Setelah mengetahui kedudukan dan kepentingannya, wajarlah pula kita menyelidik bagaimanakah caranya untuk menimba ilmu ini? Pastinya Rasulullah s.a.w tidak ketinggalan dalam menjelaskan perkara ini kepada kita, jadi marilah kita menyingkap petunjuk-petunjuk Baginda s.a.w dalam perkara ini. Di antara petunjuk-petunjuk itu ialah:

• Ikhlas

Di dalam menuntut ilmu, niat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. sahaja. Menuntut ilmu dengan tujuan duniawi hanya akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w :

مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا

Maksudnya: Sesiapa mempelajari ilmu yang sepatutnya diharapkan dengannya wajah Allah s.w.t. , tetapi dia mempelajarinya untuk mendapat habuan dunia, dia tidak akan dapat menghidu bau syurga pada hari Kiamat. (Abu Daud, No. 3179, Sahih: Sahih Abi Daud No. 3664)

Kedudukan Ilmu

Ilmu yang menjana iman mempunyai kedudukan yang mulia di dalam ajaran islam. Allah swt telah menjelaskan kepada kita bahawa orang yang mempunyai ilmu adalah lebih tinggi tarafnya daripada orang yang ketandusan ilmu.

Firman Allah s.w.t



“ (Engkaulah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya) : Adakah sama bagi orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”.

(al-Zumar 39: 9)


Tambahan kepada kenyataan ini, Allah swt. Mengarahkan pula orang yang tidak mempunyai ilmu supaya merisiknya daripada orang yang mempunyai kelebihan ini. Jelaslah dengan ini bahawa ilmu itu amat penting untuk menjamin kesejahteraan manusia baik di dunia mahupun akhirat.


Firman Allah s.w.t



“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyakan kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”.

(alNahl 16:43)

Ilmu di dalam islam ialah ilmu tentang agama suci ini dan segala jenis ilmu yang dapat memantapkan islam dari sudut kefahaman dan praktikal.


Al-SUNNAH DALAM MENGAMALKAN AL-SUNNAH

Untuk mendapat keterangan persoalan ini, kita akan berpaksikan surah al-Asr yang merupakan surah kedua terkecil di dalam al-Quran selepas surah al-Kauthar. Walaupun begitu, surah ini amat besar nilainya kerana surah ini menjunjung intipati agama Islam dan menerangkan cara untuk berjaya dan terselamat dari kerugian dunia dan akhirat.

Al-Imam al-Syafe'i telah menjelaskan:

لو ما أنزل الله تعالى على خلقه حجة إلا هذه السورة لكفتهم


Maksudnya: Sekiranya Allah s.w.t. tidak menurunkan ke atas makhlukNya sebarang hujah melainkan surah ini, pasti sudah memadai.

13 Jun 2008

Definasi As-Sunnah.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Sunnah
Dari sudut bahasa Arab, as-Sunnah ialah cara (tariqah) yang diikuti dan yang biasa dan yang biasa, samaada baik mahupun keji.
Di sisi para Salaf, jika perkataan ini disebutkan bersendirian sebagai as-Sunnah, yang dimaksudkan ialah cara yang dipilih oleh Nabi di dalam melaksanakan hidayat yang diberikan kepadanya oleh Allah. Dalam erti kata lain as-Sunnah ialah cara (manhaj) Nabi yang merangkumi teori dan praktikal terhadap agama Allah di setiap peringkat kehidupan.

Di sisi ulama al-Ushul, as-Sunnah ialah apa yang datang daripada Nabi yang merangkumi kata-kata, perbuatan dan perakuan. As-Sunnah sisi mereka menjurus kepada sifatnya sebagai sumber kedua bagi perundangan Islam.


Pengertian lain untuk as-Sunnah di sisi ulama al-Usul ialah apa yang ditunjuk oleh dali Syara yang merangkumi al-Quran. Hadith dan ijtihad para Sahabat seperti pengumpulan al-Quran. Dari sudut ini as-Sunnah berlawanan dengan al-Bidaah.

Di sisi ulama al-Hadith, as-Sunnah ialah apa yang disandarkan kepada Nabi yang merangkumi kata-kata, perbuatan, perakuan, sifat dan sejarah samaada sebelum kenabian ataupun selepasnya. As-Sunnah di sisi mereka membawa erti yang sama dengan al-Hadith di sisi mereka.

Di sisi ulama al-Fiqh, as-Sunnah ialah apa yang berlawanan dengan Fardhu atau Wajib. Ianya juga dinamakan mustahab atau mandub iaitu apa yang diituntut oleh Syara bukan dalam bentuk kemestian, di mana pembuat mendapat pahala dan tiada dosa bagi orang yang meninggalkannya. As-Sunnah di sisi mereka menjurus kepada salah satu hukum-hukum Syara yang lima.

Berkenaan dengan tajuk blog ini, as-Sunnah yang pertama ialah cara ataupun manhaj Nabi s.a.w manakala as-Sunnah yang kedua ialah sumber kedua Islam yang merangkumi Islam secara keseluruhannya dalam mengamalkan ajaran-ajaran Islam. Penekanan di sini ialah dari sudut cara dan manhaj perlaksanaan yang terkandung di dalam adab-adab atau akhlak-akhlak mulia yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Penulis mengambil bahan dan rujukan dari buku As-Sunnah dalam mengamalkan As-Sunnah yang ditulis oleh Ustaz Fadlan Bin Mohd. Jazakallahu Khairan Kathiran kepada Ustaz Fadlan Bin Mohd kerana menulis buku tersebut. Semoga ilmu yang dikongsi oleh beliau dapat dimanfaatkan bersama dan diberikan rahmat oleh Allah swt.