Support US!

Search This Blog

15 Jun 2008

Wahhabi bukan satu fahaman atau aliran

Oleh: IBNU IDRIS

SAYA rasa terpanggil untuk memberi pandangan berhubung dengan kenyataan Dr. Muhammad Uthman Al-Muhammady mengenai ``Wahhabi'' yang katanya, fahaman itu semakin berkembang di kalangan cerdik pandai muda di negara ini.

Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mendakwa bahawa kumpulan ini menolak amalan membaca al-Quran untuk orang yang meninggal dunia, membaca Yasin, qunut tahlil, talqin di atas kubur, berdoa, berzikir, ziarah kubur dan beberapa hal yang lain.

Saya berpendapat kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dibuat kerana ia lebih merupakan masalah `furuk' yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.

Perkara-perkara yang disebutkan oleh beliau merupakan isu yang sudah ``basi'' yang sejak 30 ataupun 40 tahun lalu telah dibahaskan.

Isu ini sudah pun lenyap. Ia tidak dibangkitkan lagi sejak itu sehinggalah sekarang ini. Para ulama kita mendapati isu tersebut sebagai ``cabang'', bukan ``pokok'' yang perlu dibahaskan.

Soal ``pokok'' semua ulama Islam di dunia sepakat bersetuju. Hanya soal ``cabang'' sahaja yang diperselisihkan. Dalam agama, ia disebut sebagai ``khilafiah'' sahaja.

Sebenarnya, fahaman ``Wahhabi'' itu tidaklah salah dan ia tidak bertentangan dengan akidah Islam. Kita janganlah berasa khuatir dengan fahaman Wahhabi ini.

Muhammad Abdul Wahab merupakan seorang ``mujadid'' Islam. Beliau merupakan seorang tokoh agama yang telah menimbulkan kontroversi yang sungguh hebat pada zamannya.

Tindakannya berani, bangun menentang kezaliman oleh pemerintah Bani Uthmaniyyah yang berpengkalan di Turki pada zaman beliau hidup.

Ketika itu empayar kerajaan Islam sedang berada dalam era kejatuhannya. Kezaliman pihak pemerintah ke atas rakyat ``marhain'' begitu berleluasa sekali.

Umat Islam keseluruhannya pada ketika itu hidup dalam keadaan yang begitu ``pasif'' dan ``lemah'' akibat pelbagai fahaman dan amalan bidaah dan khurafat yang sudah ``sebati'' dengan darah daging mereka.

Sinar cahaya tauhid dan akidah sudah hilang dari dada umat Islam, kerana Allah tidak lagi ``diesakan'' dalam hidup mereka.

Sebaliknya semua bentuk amalan dan ibadat bidaah yang mensyirikkan Allah mendapat tempat yang utama dalam kehidupan.

Atas fakta inilah, maka keadilan dalam Islam sudah jadi terlalu kabur dan tidak difahami oleh umat Islam pada zaman itu. Islam bagi mereka hanya sekadar melaksanakan ibadah-ibadah biasa yang dicampur-adukkan dengan pelbagai amalan bidaah yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. atau diamalkan oleh para sahabat baginda.

Kemunculan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab adalah untuk ``meluruskan'' perkara-perkara yang sudah bengkok berhubung dengan akidah yang agak sudah lama terpesong.

Oleh kerana usaha Muhammad Abdul Wahab ini benar-benar menungkah arus, maka beliau ditentang hebat oleh mereka yang sudah tersimpang jauh dari ajaran asal yang dibawa oleh baginda Rasulullah.

Gelaran ``Wahhabi'' telah dilabelkan kepada Muhammad Abdul Wahab ini sempena nama ayahnya ``Abdul Wahab'' kerana pihak-pihak yang menghalang gelombang kebangkitan ``reformasi'' yang dipelopori oleh beliau tidak mahu namanya sebenar, kerana ia kebetulan sama dengan nama Nabi Muhammad.

Mereka bimbang, jika nama sebenarnya dikutuk dan dicerca, kesan yang ingin dicapai akan sebaliknya dan orang ramai akan menganggap bahawa yang dikutuk dan dihina itu adalah diri Nabi dan bukannya Syeikh Muhammad.

Sebenarnya, sebelum kemunculan atau kedatangan Muhammad bin Abdul Wahab, Islam sudah melalui era reformasinya sejak sekitar kurun ke-6 Hijrah lagi dengan kelahiran atau kemunculan seorang tokoh mujadid Islam yang paling terkenal iaitu ``Ibnu Taimiyyah'' dan kemudiannya telah disambung oleh anak muridnya bernama ``Ibnu Qayyim'' Al-Jauziyah.

Ilmu yang ditinggalkan oleh kedua-dua ulama besar dan tokoh ilmuwan Islam yang berjasa ini, telah mencetuskan kebangkitan ramai ulama lain, termasuklah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab sendiri, yang muncul selepas kewafatan kedua-dua ulama besar ini dan bangun berjuang mengembalikan kebenaran dan memerangi kebatilan serta kezaliman dalam semua aspek kehidupan umat Islam.

Ingin juga ditegaskan di sini terutama kepada Dr. Muhammad Uthman Al-Muhammady bahawa ``Wahhabi'' bukanlah satu mazhab dan juga bukan satu aliran atau fahaman baru yang direka-reka sesuka hati oleh Muhammad Abdul Wahab itu sendiri.

Bahkan ``Wahhabi'' tidak mempunyai erti apa-apa selain hanya merupakan nama kepada bapanya. Sebenarnya gelaran ``Wahhabi'' ini tidak lain hanya merupakan satu gelaran yang sengaja dimomok-momokkan ke atas mereka yang memilih untuk kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar, mengikut al-Quran dan as-sunnah berdasarkan kepada amalan golongan ``salaf'' supaya mereka akan dianggap sesat oleh pihak-pihak yang cuba menyekat kebangkitan ini.

Mengenai dakwaan konon kumpulan Wahhabi ini di antaranya menolak amalan membaca al-Quran kepada orang sudah mati, sebenarnya tidak ada nas yang menyuruh kita berbuat demikian.

Hal ini tidak ada disyariatkan oleh agama dan tidak ada nas al-Quran yang boleh dipegang.

Hakikatnya, membaca Quran tidak salah, tetapi membaca Quran di sebelah ``orang mati'' tidak disuruh oleh agama. Hal ini janganlah pula kita salah faham.

Tetapi apa yang disyariatkan oleh agama ialah baca Quran pada orang hidup, supaya mereka boleh mengambil manfaat dan faedah dari ayat Quran dan supaya orang hidup boleh faham akan ayat-ayat Allah.

Membaca Quran kepada orang yang sudah mati, tidak ada apa-apa manfaat yang boleh mereka peroleh. Dia sudah mati, Allah sudah ambil mereka dan itu adalah urusan Allah.

Begitu juga dengan membaca ``talqin'' di atas kubur. Talqin bermaksud mengajar. Sistem pendidikan ketika itu sudah tidak wujud lagi.

Bagaimanakah orang hidup boleh mengajar kepada orang yang sudah mati? Sebenarnya, membaca talqin itu untuk orang hidup, tetapi ingatan itu tidak semestinya diberitahu ataupun dibacakan di atas kubur.

Di dalam masjid, di dalam surau, di dalam majlis-majlis ilmu dan kuliah-kuliah agama boleh diberitahu tentang hal bila seorang itu mati, dimasukkan dalam kubur dan malaikat akan soal dan berbagai-bagai lagi berkait dengan alam kubur, tetapi bukannya diberitahu ketika berada di atas kubur.

Di dalam kitab Bahrul Mazi dalam bab mati, alam barzakh dan alam akhirat ada dijelaskan perkara-perkara ini.

Mengenai golongan ``Wahhabi'' menolak amalan berdoa dan berzikir dakwaan ini tidak benar. Apa yang ditegah ialah membaca doa dengan suara yang kuat dan nyaring dalam masjid ataupun surau.

Kerana ini akan mengganggu para jemaah lain yang sedang bersolat dalam masjid. Lagipun, Allah itu Maha Mendengar, tidaklah perlu kita baca kuat-kuat dan berzikir sehingga tidak sedarkan diri.

Sebenarnya berdoa dan berzikir tidaklah dilarang, tetapi yang ditegah ataupun dilarang dengan ``suara nyaring'' yang boleh menimbulkan kesulitan kepada jemaah lain.

Masalah kita ialah ``kita suka main ikut-ikut'' atau dengan lain-lain ``bertaqlid'' secara membuta tuli. Konon, kita ini mengikut mazhab Syafie, sedang As-Syafie iaitu Muhammad Idris as-Syafie tidak suruh kita buat begitu.

Imam Syafie suruh kita ikut Nabi sebagaimana beliau ikut. Imam Syafie tidak suruh kita ikut dia (Imam Syafie) tetapi suruh ikut Rasulullah.

Jadi, apa yang pelik sikit dari kelaziman adat dan budaya kita, maka kita kata itu bukan dari mazhab Syafie. Sebenarnya kita sudah banyak tertipu dengan sikap ``bebal'' kita ini.

Terdapat banyak amalan telah sebati dengan darah daging, dengan budaya dan adat masyarakat kita dan tidak pernah pun diajar oleh Imam Syafie ataupun imam-imam mazhab yang lain.

Dalam Quran terlalu banyak dalil yang menyuruh orang-orang beriman dan bertakwa untuk menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan, kerana apa juga jalan yang kita lalui selain dari jalan yang ditunjuk ajar oleh baginda Rasulullah untuk menuju Allah adalah terbatal dan tidak diterima oleh Allah.

Kita haruslah ingat bahawa Islam itu bukanlah milik sesiapa secara mutlak. Ia milik manusia sejagat dan Islam itu ditegakkan dengan asas ilmu, bukanlah melalui sangka-sangkaan.

Memanglah benar perbezaan pendapat (kesilapan) dibenarkan dalam Islam, tetapi perbezaan pendapat ini hanyalah perkara furuk sahaja (cabang).

Pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh Dr. Muhammad Uthman itu memanglah patut diberikan komen, supaya orang ramai yang tidak memahami dan kurang tahu tentang fahaman Wahhabi tidak terkeliru ataupun sekurang-kurangnya mendapat sedikit maklumat mengenai apa yang sebenarnya ``Wahhabi'' itu.

Saya percaya bahawa pandangan ini hanya akan diterima oleh mereka yang mempunyai keikhlasan hati sahaja untuk mencari kebenaran.

Tetapi bagi mereka yang gemar bertaqlid dan tidak meminati kebenaran akan menolaknya. Ini merupakan satu pandangan sahaja sekadar yang saya perolehi dari maklumat-maklumat hasil menelaah kitab-kitab agama dan hasil pembacaan mengenai Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang apa dipanggil sebagai ``mazhab Wahhabi.''

Sumber: Utusan Online http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan