Support US!

Search This Blog

27 Jun 2009

BIDAAH DAN KHURAFAT: KESAN NEGATIF KEPADA PEMBANGUNAN UMMAH

Pendahuluan

Sering disebut hadis nabi yang bermaksud, semua bidaah itu sesat. Tetapi ramai mereka yang kurang menjelaskan apa sebenarnya bidaah yang sesat itu. Justeru itu Imam al-Shatibi dalam kitab al-I’tisam, menjelaskan bidaah itu adalah "cara beragama yang direka bermaksud untuk melampau-lampau dalam beribadat". Justeru itu bidaah berkaitan ibadat, bukannya hal urusan dunia. Ini sesuai dengan maksud hadis nabi yang menyatakan; "Sesiapa yang mengada-adakan dalam agama kami, perkara yang bukan sebenarnya dari agama, maka ia tertolak".(Muttafaq Alayhi, dari hadis Aisyah.)

Al-Quran justeru itu lebih awal, menerangkan kedatangan Rasul untuk membetulkan I’itiqad dan amalan yang salah. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orangorang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhamad) dari bangsa mereka sendiri ,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keEsaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (daripada I’tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (alQur’an) dan hikmat (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata” (al-Qur’an, Surah al-Jumu’ah 62:2).


Pada asasnya, segala urusan dalam perkara keagamaan ialah mengikut Sunnah, atau disebut dengan al-It-tiba. Sementara perkara yang berkaitan dengan dunia berasaskan rekaan al-Ibtida’. Ayat al-Quran al-Maidah:3 menyatakan: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatku kepada kamu, dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. Sementara hadis Rasulullah s.a.w. pula menyatakan "Anda lebih mengetahui dengan urusan dunia anda”

Berasas kepada mukadimah di atas, ternyata bahwa Islam menyempitkan urusan agama yang khusus iaitu ibadat daripada campurtangan manusia. Mereka sepatutnya hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Sementara dalam urusan keduniaan atau muamalat ia terbuka untuk manusia berkreativiti kecuali dalam perkara yang telah ditetapkan seperti haramnya riba, arak dan hukuman-hukuman yang telah ditentukan Allah s.w.t

Sumber
http://al-ahkam.net

Cetak Halaman