Support US!

Search This Blog

27 Jun 2009

Dua Asas Pokok Ibadat

Islam mengasaskan ibadat atas dua asas utama. Pertama: Ibadat hanyalah kepada Allah. Apa-apa penyembahan yang lain selain daripada Allah, sama ada manusia menyembah bulan, bintang, matahari, patung, pokok, binatang atau menyembah sesama manusia, kesemuanya batil.

Firman Allah bermaksud:
"Dan kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan kami wahyukan kepada: "Bahawasa sesungguhnya tiada TUHAN (yang berhak disembah) melainkan AKU; Oleh itu beribadatlah kamu kepada Ku"(aI-Quran, al-Anbiya’ :25).
Kedua: Penyembahan kepada Allah atau disebut ibadat tidak harus dilakukan kecuali dengan apa yang disyari’atkan dalam kitab Allah dan Sunnah RasuluLah s.a.w. Jadi setiap ibadat yang tidak mengikut kedua-dua sumber tersebut ia ditolak berasas maksud hadis yang sahih:
"Barangsiapa yang mengada-adakan dalam (urusan) agama ini suatu pekerjaan yang tiada daripadanya, maka (yang diada-adakan itu) tertolak." (Hadis Bukhari, Muslim).

Sementara hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidhi iaitu hadis Hasan lagi Sahih menyatakan:
"Dan jauhilah oleh kamu akan perkara-perkara yang baharu diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bidaah itu adalah sesat."
Dengan hadis-hadis di atas, Rasulullah s.a.w. telah memelihara perkara keagamaan itu daripada dimasukkan dengan perkara lain seperti yang terjadi kepada agama-agama sebelum Islam yang menyebabkan urusan agama diselewengkan, ditambah-tambah perkara yang bukan-bukan, malahan agama yang asalnya mudah menjadi sukar, lebih malang yang halal diharamkan dan yang haram pula dihalalkan.

Sebagai contoh, dalam agama Nasrani timbulnya kerahiban melampau yang bercanggah dengan fitrah, lalu diharamkan perkahwinan, malah diharamkan banyak perhiasan yang asalnya dibolehkan oleh agama sehingga ada yang mengharamkan diri mereka dari menggunakan air atau membersihkan diri. Mereka menganggap kotor itu sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Tuhan. Kebersihan pula lebih mendekatkan kepada syaltan.

Sikap melampau seperti ini telah merosakkan agama terdahulu.Ini diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. supaya jangan mengambil sikap melampau dalam ajaran agama. Begitu juga sebaliknya, Rasulullah melarang dari mempermudah-mudahkan atau tasahul dalam agama.

Adapun soal urusan dunia dibuka kaedah berkreativiti sehingga Rasulullah s.a.w. mengatakan: "Barangsiapa yang melakukan sunnah yang baik, maka ia mendapat ganjaran dan ganjaran dari amalan orang lain selepasnya tanpa mengurang sedikit pun ganjaran mereka itu" (Hadis riwayat Muslim, Ahmad, al-Nasa’I Tirmidhi dan Ibn Majah).

Demikian apa yang berlaku pada zaman sahabat dan umat Islam zaman awalnya. Mereka cukup menjaga daripada berlakunya perkara baru dalam akidah, ibadat dan perkara-perkara dasar agama yang tidak boleh dikompromikan. Sebaliknya, dalam hal keduniaan mereka mencipta perkara baru termasuk bidang keilmuan seperti ilmu bahasa Arab, Usul Fiqh, Ulum alHadith, Usul Tafsir, Ulum al-Qur’an dan lain-lain. Mereka menterjemah ilmu-ilmu dari bahasa asing sehingga muncullah dari kalangan mereka kemudiannya ahli yang mahir dalam bidang perubatan, fizik, kimia, optik, matematik dan geografi.

Sumber
http://al-ahkam.ne

Cetak Halaman